Bergilir-gilir berniaga, urus bapa sakit buah pinggang

Bergilir-gilir berniaga, urus bapa sakit buah pinggang

NIK Roslina Nik Mat (kiri) menjaga kebajikan Nik Mat Nik Hassan (berbaring) yang mengalami penyakit buah pinggang tahap empat di Felda Kota Gelanggi Empat di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seorang peneroka, Nik Mat Nik Hassan, 74, hanya bergantung harap kepada anak perempuannya, Nik Roslina, 40, untuk menjaga kebajikannya setelah menghidap penyakit buah pinggang tahap empat di Felda Kota Gelanggi Empat, di sini.

Nik Roslina berkata, sejak bapanya disahkan menghidap penyakit itu, dia mengambil alih tanggungjawab itu dan membahagikan masa berniaga makanan untuk menampung pendapatan.

“Kami tidak menyangka bapa mengalami penyakit darah tinggi dan gout pada peringkat awal, kemudian berlanjutan bengkak kaki dan sendi bermula hujung tahun lalu.

“Lanjutan komplikasi yang dialami bapa, dia kerap kencing pada waktu malam, mengalami gatal keseluruhan badan dan hilang selera makan sehingga fizikalnya lemah menjadi kurus,” katanya di Felda Kota Ge­langgi Empat di sini semalam.

Menurut Nik Roslina, ke­adaan penyakit bapanya semakin teruk apabila mengalami batuk berdarah sehingga perlu dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh untuk pemeriksaan doktor hujung tahun lalu.

“Selepas pemeriksaan, bapa disahkan mengalami penyakit buah pinggang tahap empat dan dimasukkan di wad hospital selama lima hari untuk rawatan lanjut.

“Kini bapa terlantar di katil dalam keadaan lemah dan kami cuma mampu menguruskan kehidupannya yang sudah tidak mampu berjalan dan kakinya kerap bengkak sehingga terpaksa dipapah untuk ke bilik air,” katanya.

Katanya, dia terpaksa bergilir-gilir berniaga makanan di hadapan sekolah rendah di kawasan tanah rancangan itu dengan suaminya kerana perlu menumpukan perhatian kepada kebajikan bapa khususnya pada sebelah pagi dan petang.

Tambahnya, ibunya, Robiah Ishak yang berusia 65 tahun juga tidak mampu menguruskan kebajikan ayahnya kerana uzur.

Orang ramai dan dermawan yang ingin beramal jariah boleh menghubungi Nik Roslina menerusi talian 0199416630 atau Nik Mat 0148309810 atau terus ke akaun Maybank 156208129578 (Nik Mat). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN