Benteng penahan ombak pecah akibat air pasang besar

Benteng penahan ombak pecah akibat air pasang besar

KEADAAN bentang penahan ombak di Bagan Sungai Tiang yang rosak akibat fenomena air pasang besar baru-baru ini ketika tinjauan di Bagan Datuk, Perak semalam. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Penduduk di Bagan Sungai Tiang di sini bimbang tebing atau benteng penahan ombak di kampung mereka mungkin pecah jika berlaku lagi fenomena air pasang besar se­perti baru-baru ini.

Ini kerana banyak bongkah batu yang dipasang sebagai penahan ombak dihanyutkan ombak semasa air pasang besar di kawasan itu minggu lalu.

Kejadian air pasang besar itu turut menyebabkan beberapa tempat pada benteng tersebut pecah dan air melimpah masuk hingga ke kawasan kebun dan rumah penduduk.

Tinjauan mendapati bahagian benteng yang pecah belum diperbaiki dan berbahaya kepada nelayan, kaki pancing dan penduduk setempat yang menggunakan tebing tersebut sebagai laluan.

Penduduk meluahkan kebimbangan terhadap benteng penahan ombak yang mungkin boleh runtuh dengan lebih teruk jika berlaku ombak besar.

Mengulas keadaan benteng itu, Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, ombak besar disebabkan air pasang besar sudah biasa dialami penduduk Bagan Sungai Tiang.

Namun, katanya, fenomena yang berlaku minggu lalu adalah yang terburuk dan menjejaskan beberapa kampung antaranya Bagan Sungai Tiang, Bagan Sungai Burung, Kampung Sungai Payung, Kampung Su­ngai Belukang dan beberapa kampung lagi.

Menurutnya, akibat ombak besar, berlaku runtuhan pada beberapa tempat di benteng penahan ombak dan limpahan air laut ke kawasan yang mempunyai penduduk.

“Buat masa ini Jabatan Pe­ngairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah Hilir Perak membuat pemantauan untuk membaiki semula mana ban-ban atau benteng penahan ombak yang pecah.

“Tetapi mereka menyatakan tidak mempunyai peruntukan, jadi Pejabat ADUN akan me­ngajukan permohonan kepada Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk mendapatkan peruntukan kecemasan memperbaiki ban yang pecah.

“Kerja-kerja penambakan benteng atau ban tidak dapat dibuat masa ini kerana tanah di kawasan kejadian masih lembut ditambah cuaca sekarang yang sering hujan.

“Untuk jangka panjang, kami memohon peruntukan untuk membina ban atau benteng penahan ombak yang lebih kukuh lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, walaupun fenomena itu disifatkan feno­mena biasa, penduduk harus berhati-hati terutama kepada penduduk di pesisir pantai kawasan Sungai Tiang.

“Sebaiknya nelayan membuat perancangan terlebih dahulu sebelum ke laut untuk mencari kerang atau menjaring ikan kerana fenomena air pasang besar tidak menentu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN