SHAH ALAM: Kerajaan negeri akan membentangkan Belanjawan Selangor 2025 pada pertengahan November depan berbanding awal bulan seperti diumumkan sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sesi belanjawan ditangguhkan apabila kebanyakkan pegawai agensi kerajaan negeri perlu menghadiri satu forum khas di Mesir.
“Perbincangan lanjut mengenai perkara itu sudah dijalankan dan kita telah bersiap sedia bagi pembentangan berkenaan.
“Insya-Allah sesi belanjawan akan dibuat pada minggu kedua atau ketiga November nanti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan sesi dialog Belanjawan Selangor 2025, hari ini.
Beliau menambah, kedudukan ekonomi yang kini rancak diyakini menjadi daya bantu kepada kerajaan negeri untuk menghadapi tahun 2025.
“Selain itu, kita mahu mengimbangkan semua kerancakkan pembangunan dengan pelbagai program kebajikan yang akan terus diperkasakan.
“Fokus perbincangan iaitu kemungkinan kita berdepan bencana atau krisis dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi menjadi paksi kehidupan pintar rakyat,” ujarnya.
Kata Amirudin lagi, pihaknya menerusi siri-siri dialog itu juga akan mengenal pasti inisiatif dan nilai tambah yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri tahun depan.
Pada Belanjawan 2024 lalu, Selangor memperuntukkan RM2.53 bilion merangkumi RM1.33 bilion atau 52.6 peratus perbelanjaan mengurus dan RM1.2 bilion atau 47.4 peratus perbelanjaan pembangunan.
Belanjawan itu mengalami defisit berjumlah RM330 juta dengan mengambil kira jangkaan hasil negeri berjumlah RM2.2 bilion dan anggaran perbelanjaan RM2.53 bilion.
Defisit berkenaan lebih rendah berbanding tahun 2023 iaitu pengurangan sebanyak RM120 juta. – UTUSAN