Belanjawan 2025 dijangka cecah RM403.7 bilion - TA Securities Belanjawan 2025 dijangka cecah RM403.7 bilion - TA Securities

Belanjawan 2025 dijangka cecah RM403.7 bilion – TA Securities

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Firma penyelidikan, TA Securities menjangkakan peruntukan Belanjawan 2025 lebih tinggi berjumlah RM403.7 bilion berbanding unjuran Belanjawan 2024 sebanyak RM396 bilion.

Peruntukan itu masing-masing sebanyak RM305.7 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM97.9 bilion bagi pembangunan.

Menurut TA Securities, hasil kerajaan diramal meningkat sebanyak 5.7 peratus kepada RM325.3 bilion dalam Belanjawan 2025 berbanding RM307.6 bilion pada tahun ini.

Jelasnya, ia berikutan peningkatan 4.2 peratus dan 11.7 peratus masing-masing dalam cukai langsung dan tidak langsung, selari dengan perkembangan ekonomi pada kadar yang lebih pantas, perkembangan perniagaan dan pendapatan yang meningkat.

“Belanjawan 2025 Kerajaan Madani pada 18 Oktober depan harus terus mengetengahkan langkah-langkah untuk menambah baik negara, berdaya saing untuk menarik pelaburan; penjejakan pantas pembaharuan fiskal yang menekankan kutipan hasil yang lebih tinggi dan perbelanjaan berhemat.

“Selain itu, pengurangan subsidi dan pengurangan dalam pinjaman bersih tahunan; meningkatkan tadbir urus dan mekanisme penyampaian awam; meningkatkan kualiti hidup dan pengagihan kekayaan yang saksama serta meneruskan agenda kelestarian untuk masa depan yang lebih baik.

“Tindakan ini dijangka konsisten dengan aspirasinya untuk mencapai tujuh prestasi utama
sasaran dalam tempoh 10 tahun akan datang dan akan disokong oleh tiga teras utama,” jelasnya dalam nota penyelidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan.

Media sebelum ini melaporkan, Belanjawan Madani 2025, yang dijangka dibentangkan Oktober ini akan berpandukan kepada beberapa asas tertentu, termasuk pendekatan memacu pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih pesat, bagi membolehkan usaha meningkatkan penyediaan kemudahan kepada rakyat.

Anwar dilapor berkata, bertemakan ‘Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, perencanaan belanjawan tersebut tidak akan lari daripada hala tuju ekonomi negara seperti yang diumum sebelum ini, termasuk Pelan Perindustrian Baharu Negara (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), serta Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Kerajaan sebelum ini memperuntukkan hampir RM400 bilion untuk Belanjawan 2024 meliputi RM303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.

Pada masa sama, TA Securities menjangkakan, pengurangan defisit fiskal akan turun secara beransur-ansur sehingga mencapai sasaran 3.5 peratus pada 2026.

Katanya, jangkaan itu berikutan peruntukan emolumen dijangka meningkat dengan peningkatan gaji kakitangan awam pada Disember tahun ini dan 2026/

“Pertumbuhan hasil yang lebih kukuh berbanding perbelanjaan akan membawa kepada defisit fiskal yang lebih rendah sebanyak RM76.4 bilion atau 3.7 peratus pada 2025, berbanding 4.2 peratus yang diramalkan pada 2024, sekali gus di landasan tepat untuk mencapai sasaran 3.5 peratus pada 2026.

“Ini akan disokong oleh pengembangan ekonomi yang mana diramalkan akan berkembang lebih pantas pada 5 peratus pada 2025.

“Ia akan didorong oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, dan disokong oleh pasaran buruh yang stabil, kenaikan gaji, dan pelaburan swasta,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam pada itu, firma penyelidikan itu tidak menjangkakan sebarang pengenalan cukai baharu selain 15 peratus cukai minimum global (GMT) dan Cukai Barang Bernilai Tinggi (HVGT) yang telah ditangguhkan sebelum ini.

Katanya, ia termasuk penguatkuasaan pelaksanaan fasa demi fasa e-invois yang akan memasuki peringkat akhir pada 2025 dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

“Ini akan mengimbangi kemungkinan pembayaran dividen yang lebih rendah daripada Petronas disebabkan oleh hasil yang diketepikan daripada operasi di Malaysia Timur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN