BALIK PULAU : Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berharap agar peruntukan untuk meningkatkan lagi kebajikan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) ditambah dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober depan.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, Anwar merupakan seorang pemimpin yang sangat prihatin dengan pengorbanan guru-guru KAFA dalam memberikan pendidikan agama kepada kanak-kanak di seluruh negara.
“Seperti biasa, kita ada kemukakan cadangan untuk memberikan peruntukan tambahan kepada guru-guru KAFA ini dan pada masa yang sama, kementerian serta agensi lain juga ada mengemukakan cadangan (untuk) bajet masing-masing.
“Jadi, kita serahkan kepada kebijaksanaan Perdana Menteri untuk mengumumkan pada 18 Oktober ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Ihtifal KAFA Peringkat Kebangsaan kali ke-9 2024 di Maahad Al Mashoor Al Islami di sini, hari ini.
Tahun lepas, Anwar mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.9 bilion diberi bagi tujuan pengurusan dan pembangunan hal ehwal Islam dalam Belanjawan 2024.
Ia termasuk sumbangan khas yang ditambah menjadi RM700 kepada lebih 70,000 guru takmir, guru KAFA, imam, bilal, siak, noja di peringkat komuniti.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, kerajaan sentiasa komited dalam menjaga kebajikan guru-guru KAFA dan menghargai jasa serta peranan besar mereka.
Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, Majlis Ihtifal KAFA itu merupakan medan untuk mengasah bakat anak-anak muda dalam bidang hafazan al-Quran, tilawah dan sebagainya.
“Selain daripada pendidikan asas agama yang diajar oleh guru-guru KAFA di sekolah, adalah penting untuk mengasah bakat anak-anak ini di peringkat awal.
“Jadi Majlis Ihtifal KAFA ini dapat mencungkil bakat anak-anak muda dalam bidang hafazan, ilmu tajwid dan menyediakan mereka untuk pergi jauh dalam bidang agama,” katanya.
Tambah beliau, Majlis Ihtifal KAFA itu juga dapat mengasah semangat kepimpinan dalam generasi muda dan membantu mereka menjadi pemimpin masa depan negara.
Terdahulu, Perak dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada majlis ihtifal itu yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).-UTUSAN .