Bekas Pengarah Urusan Felcra dipenjara 7 tahun, denda RM7.2j

Bekas Pengarah Urusan Felcra dipenjara 7 tahun, denda RM7.1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang bekas Pengarah Urusan Felcra Training & Consultancy Sdn. Bhd. (FTC) dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM7,132,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam, selepas didapati bersalah atas 33 pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memberi pelbagai kontrak pembekalan kepada anak dan menantunya, 10 tahun lalu.

Hakim Azura Alwi turut memerintahkan Rohaizat Ahmad, 59, dipenjara 68 tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Terdahulu, hakim terbabit mendapati tertuduh bersalah selepas mendapati pihak pem­belaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Setelah mahkamah mene­liti keterangan saksi-saksi pendakwaan dan pembelaan tertuduh, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan dengan kesalahan ke atas pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama,” kata Azura.

Azura kemudian menjatuhkan hukuman penjara antara setahun hingga tujuh tahun menjadikan keseluruhan hukuman penjara ialah sebanyak 74 tahun namun disebabkan mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini, Rohaizat hanya perlu menjalani pemenjaraan selama tujuh tahun.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-16, tertuduh didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan sebagai Pengarah Urusan FTC untuk mendapatkan suapan bagi menantunya dengan melantik syarikat Al Maisan Enterprise sebagai pembekal barangan antaranya peralatan elektro­nik, cenderahati, baju kurung dan kemeja-T berkolar selain pengendali program latihan kemahiran kepada FTC.

Bagi pertuduhan ke-17 hingga ke-33, bapa kepada enam anak itu didakwa menggunakan jawatan dan kedudukan sama untuk mendapatkan suapan bagi anaknya dengan me­lantik syarikat Hexa Tech Pride sebagai pembekal barangan antaranya cenderahati korporat, telefon pintar, komputer riba, projektor, barangan elektronik dan konsultan program keusahawanan kepada FTC.

Pembekalan barang tersebut membabitkan kontrak berjumlah RM1,648,810.60.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di FTC, No 22 Jalan Rampai Niaga 4, Rampai Business Park di sini, antara 23 April 2014 hingga 29 Jun 2018.

Rohaizat didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Selepas menjatuhkan hukuman penjara serta denda, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman tersebut dengan syarat pihak pembelaan perlu memfailkan rayuan dalam tempoh masa 14 hari dari tarikh semalam.

Mahkamah turut me­ngekalkan jumlah jaminan RM80,000 yang ditetapkan sebelum ini.

Seramai 40 saksi pendakwaan dan tiga orang saksi pembelaan termasuk tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes yang bermula pada 9 Januari 2020. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya