KANGAR: Bekas pelumba negara yang pernah membawa nama Malaysia ke peringkat Asia dan antarabangsa, Elly Idzlianizar Elias, 40, disahkan maut dengan 12 kesan tetakan menggunakan pedang samurai dalam kejadian di Taman Behor Gonchar di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu berpunca daripada satu pergaduhan sehingga membawa kepada kematian.
Mangsa meninggal dunia dipercayai akibat pendarahan teruk susulan kecederaan tetakan pada bahagian tangan dan badan.
Susulan itu, polis menahan tiga suspek berusia lingkungan 28 hingga 51 tahun di lokasi berasingan.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya menerima laporan berhubung pergaduhan di lokasi itu sekitar pukul 11.30 malam membabitkan empat lelaki.
Yusharifuddin berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa difahamkan pergi ke rumah suspek pertama dalam keadaan marah sekitar pukul 9 malam, namun suspek tidak berada di kediaman ketika itu.
“Sewaktu keluar dari rumah itu dan tiba di persimpangan taman, mangsa yang menaiki kereta Proton Iriz telah berselisih dengan suspek pertama, kedua dan ketiga.
“Kemudian, berlakunya pergaduhan antara mereka berempat sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia akibat 10 hingga 12 tetakan sekitar pukul 12.30 tengah malam,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini, hari ini.
Susulan kejadian itu, Yusharifuddin berkata, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kangar dibantu JSJ Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis menahan tiga suspek berkenaan.
Beliau berkata, menerusi penahanan itu, polis turut merampas beberapa barangan antaranya sebilah pedang samurai sepanjang 112 sentimeter, telefon bimbit dan perakam video.
“Motif kejadian masih dalam siasatan kerana saya difahamkan suspek dan mangsa adalah kenalan, malah kita percaya mungkin berlaku sesuatu isu yang mendorong kepada pergaduhan tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagi menjalani proses bedah siasat malah punca kematiannya adalah dipercayai akibat pendarahan teruk susulan kecederaan tetakan pada bahagian tangan dan badan.
Katanya, suspek pertama juga didapati positif dadah jenis benzo manakala ujian air kencing ke atas dua lagi suspek adalah negatif.
“Semua suspek terlibat mempunyai beberapa rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan beberapa kesalahan jenayah lain,” katanya.
Tambahnya, semua suspek terlibat ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 17 September ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah 302 Kanun Keseksaan dan kita mohon kerjasama masyarakat yang mengetahui maklumat kes ini agar dapat tampil bagi membantu siasatan. Polis juga memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau provokasi berkaitan kejadian,” katanya.
Elly sebelum ini terkenal dalam kalangan peminat sukan permotoran tempatan kerana mula mencipta nama di arena perlumbaan tempatan Cub Prix dan menjuarai pelbagai perlumbaan bersama pengeluar Yamaha, Honda dan Suzuki.
Allahyarham juga pernah terpilih sebagai pelumba wild card Malaysia dalam saingan 125cc Kejuaraan GP Dunia bersama Zulfahmi Khairudin pada 2009. – UTUSAN