Bekas pelajar Sekolah Henry Gurney mahu ubah nasib keluarga

Bekas pelajar Sekolah Henry Gurney mahu ubah nasib keluarga

PELAJAR Sekolah Henry Gurney Wanita, Kota Kinabalu mengulang kaji pelajaran di sebalik tembok besi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU : Saya mahu buat yang terbaik untuk Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Saya mahu tunjukkan bahawa saya juga boleh berjaya macam orang lain biarpun saya pernah tersilap langkah.” ujar Lenny,21, (bukan nama sebenar) yang diumumkan sebagai pelajar cemerlang SPM Sekolah Henry Gurney (SHG) Wanita di sini baru-baru ini.

Dia antara tiga bekas pelajar SHG yang memperoleh keputusan baik pada SPM 2023.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia nekad mengambil peperiksaan SPM kerana memikirkan keluarganya daripada orang susah. Walaupun pernah bergelar bekas pelajar SHG namun, dia mahu menjadi seorang insan yang berbakti kepada keluarga.

“Ibu bapa saya telah bercerai semasa saya masih kecil jadi, hidup kami memang susah dari segi kewangan. Dibesarkan dalam keluarga yang bercerai berai menyebabkan saya mudah terpengaruh dan terikut-ikut buat perkara yang tidak baik.

“Saya tertangkap di sebuah hotel bersama seorang rakan perempuan dan semasa menjalani ujian air kencing, saya didapati positif dadah jenis syabu,” katanya semasa Majlis Apresiasi Pelajar & Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda peringkat Sekolah Henry Gurney Wanita dan Sekolah Integriti Kota Kinabalu.

LENNY berkongsi kegembiraan bersama ibunya setelah memperoleh keputusan cemerlang SPM.Ketika melihat air mata ibu mengalir semasa dia membuat panggilan video apabila dimasukkan ke SHG, Lenny rasa cukup menyesal kerana melukakan hati dan perasaan seorang ibu.

Berkongsi tentang rancangan masa depan, Lenny berkata, dia ada menerima tawaran melanjutkan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) namun, kekangan kewangan menyebabkan dia terpaksa menolak tawaran tersebut.

Kini dia sedang menunggu keputusan ujian Suruhanjaya Perkhidmatan Awam bagi menganggotai Angkatan Pertahanan Awam.

Turut berkongsi kekesalan kerana tersilap langkah adalah Della,19, yang turut dimasukkan ke SHG atas kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya kerana menyalah guna dadah.

Della berkata, keseronokan mengambil dadah menjadi punca pelajarannya tercicir hingga dia terpaksa berhenti sekolah semasa berada di Tingkatan Tiga. Maka, apabila diberi peluang mengambil peperiksaan SPM semasa berada di SHG, dia tidak mensia-siakan peluang yang ada dengan memperoleh keputusan yang baik.

“Saya rasa bagus juga dimasukkan ke Henry Gurney sebab saya boleh mengambil peperiksaan SPM. Jika berada di luar, sudah pasti saya tidak akan mengambil SPM kerana saya terlalu nakal.

“Saya ambil peperiksaan SPM sebab saya mahu orang kampung nampak saya juga boleh berjaya…ada SPM. Saya mahu masa depan saya cerah dan keputusan ini boleh membanggakan keluarga biarpun hanya 1A, ia buatkan keluarga saya menangis,” katanya.

Selepas dibebaskan pada Mei lalu, Della mula merancang untuk melanjutkan pengajian ke kolej swasta dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Dia akan mengambil diploma dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak pada bulan ini bagi mencapai impiannya menjadi guru tadika.

Berkongsi lanjut katanya, dia terjebak kerana kawannya mengatakan benda yang dihisap itu adalah rokok. Dia langsung tidak tahu bahawa kertas rokok yang dihisap itu mengandungi dadah.

Della berkata, disebabkan dia memang merokok maka, dia terpedaya bahawa ada dadah yang disimpan di dalam rokoknya. Namun, lama-kelamaan dia menjadi ketagih untuk mengambil ‘rokok’ berkenaan.

Sementara itu Jabatan Penjara dalam perancangan untuk memperkenalkan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di SHG.

 

Pengarah Penjara Sabah, Nora Musa berkata, cadangan berkenaan sedang dibincangkan antara Jabatan Penjara dan Kementerian Pendidikan dan pelaksanaannya akan dilakukan di semua sekolah-sekolah Henry Gurney seluruh negara.

Beliau berkata, pada masa ini, memang ada kursus kemahiran yang diajar kepada penghuni di penjara namun, ia lebih fokus kepada orang dewasa.
“Untuk remaja bermasalah yang ditempatkan di SHG, belum ada sebarang program-program kemahiran. Oleh itu, kita mahu pendidikan TVET turut dilaksana di SHG. Perancangan kita memang ke arah itu,” katanya semasa Majlis Apresiasi Pelajar dan Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda peringkat Sekolah Henry Gurney Wanita & Sekolah Integriti Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Ketika ini terdapat kira-kira 120 orang pelajar di SHG dan Sekolah Integriti Kota Kinabalu di Sabah manakala, di seluruh Malaysia pula terdapat 396 orang.

Kata beliau, Jabatan Penjara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan sentiasa memberi peluang kepada remaja yang ditempatkan di SHG untuk meneruskan pendidikan mereka biar pun semasa menjalani hukuman.

Jika dilihat pada tahun ini, seramai 13 orang pelajar SHG wanita dan lelaki akan menduduki peperiksaan SPM.

“Kita memberi peluang kedua kepada mereka untuk meneruskan pelajaran yang tercicir kerana ada antara remaja ini yang tercicir semasa berada di Tingkatan Satu atau dua disebabkan pelbagai faktor.

“Maka, apabila dimasukkan ke SHG, mereka diberi peluang untuk meneruskan pelajaran berdasarkan silibus Kementerian Pendidikan. Namun, kita berhadapan kekurangan fasiliti kerana tiada makmal sains di SHG,” katanya.

Nora berkata, Jabatan Penjara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan mahu melihat remaja yang berada di SHG menguasai sekurang-kurangnya 3M (membaca, mengira dan menulis. Oleh itu, apabila dibebaskan kelak, sekurang-kurangnya remaja yang pernah melakukan kesilapan itu boleh menjalani kehidupan yang baik.

Katanya, memandangkan pelajar SHG tidak mempunyai rekod jenayah maka, ada antara pelajar SHG di Sabah telah berjaya menyambung pelajaran ke peringkat diploma. Di Semenanjung

Malaysia pula, ada kalnhan mereka yang melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN