PETALING JAYA: Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD) menafikan cakap-cakap tentang kematian bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Abdul Halim Ali.
Urusetianya memaklumkan perkara itu dalam kenyataan media ringkas pagi ini.
“Pihak kami menerima banyak pertanyaan sejak semalam hingga pagi ini mengenai berita sedang tular dalam media sosial, tentang kematian Tan Sri Abdul Halim Ali, Presiden Alumni PTD yang juga bekas KSN.
“Alumni PTD mengesahkan berita tersebut adalah tidak benar,” katanya.
Sementara itu, Abdul Halim memberitahu akhbar tempatan pagi ini bahawa beliau masih sihat dan belum menemui ajal.
Beliau dilaporkan turut berkongsi aktivitinya dengan bersenam bersama ahli keluarga di Taman Tasik Perdana di ibu negara.
Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar itu berharap media membuat semakan terlebih dahulu supaya keadaan seperti ini tidak berulang.
“Saya masih sihat, belum meninggal dunia lagi.
“Saya terkejut mendengar pemberitaan mendakwa saya sudah meninggal dunia, sedangkan masih sihat. Saya pelik apabila pemberitaan dibuat tanpa pengesahan, sama ada daripada saya atau ahli keluarga terdekat.
“Malah, saya menerima banyak mesej daripada kawan yang bertanya mengenai kesahihan berita kematian saya,” katanya. – UTUSAN