Bekas Ketua Unit AADK Sik Kedah terlibat salah laku - EAIC

Bekas Ketua Unit AADK Sik Kedah terlibat salah laku – EAIC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Ketua Unit di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sik, Kedah disahkan terlibat salah laku berupa kesalahan tatatertib yang cenderung kepada melindungi individu yang disahkan positif dadah.

Perkara itu hasil siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mana beliau ketika memegang jawatan itu gagal mengendalikan keputusan saringan air kencing Orang Yang Disiasat (OYDS) yang disahkan positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine.

EAIC dalam kenyataan memaklumkan, kegagalan itu sehingga menyebabkan berlakunya kelengahan selama hampir satu tahun 6 bulan untuk menyerahkan keputusan saringan air kencing tersebut kepada pihak majikan OYDS.

Katanya, siasatan sepenuhnya dijalankan ke atas aduan berkaitan ketua unit itu mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

“Ketua Unit tersebut gagal untuk memastikan Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin OYDS berada dalam keadaan teratur sepanjang beliau bertugas di AADK Sik, Kedah.

“Dua orang Pembantu Antidadah di AADK Sik, Kedah yang ditugaskan untuk menghantar dan mengambil sampel air kencing OYDS juga didapati gagal mengemas kini Buku Rekod Penghantaran Sampel Urin OYDS dengan teratur,” katanya hari ini.

Oleh itu, EAIC melalui Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 8/2024 bertarikh 10 September lalu mengesyorkan suatu hukuman yang patut dikenakan ke atas pegawai tersebut iaitu menangguhkan pergerakan gaji selama enam bulan terhadap bekas Ketua Unit tersebut.

Katanya, hukuman itu atas kerana cuai dan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan satu tindakan yang tidak adil dapat diambil terhadap OYDS oleh majikannya.

“Amaran terhadap bekas Ketua Unit tersebut kerana gagal untuk memastikan Buku Rekod Penghantaran sampel Urin OYDS AADK Sik, Kedah berada dalam keadaan teratur.

“Amaran terhadap dua orang Pembantu Antidadah AADK Sik, Kedah kerana gagal mengemas kini Buku Rekod Penghantaran Sampel Air Kencing AADK Sik, Kedah dengan sewajarnya,” katanya.

EAIC berkata, perkara itu telah dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) AADK untuk tindakan selanjutnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN