Bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah terharu bebas tuduhan rasuah - Utusan Malaysia

Bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah terharu bebas tuduhan rasuah

Bebas tuduhan rasuah
MOHD. Asraf Redzuan dibebaskan dari kes pertuduhan melibatkan wang suapan sejumlah RM7,000 bagi sebuah projek penurapan semula jalan, dekat Mahkamah Sesyen, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bekas Ketua Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Langat berlinangan air mata apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan rasuah RM7,000 bagi kerja penurapan semula jalan di dua buah lorong pada 2020 dan 2021.

Hakim Datuk Anita Harun memutuskan demikian selepas menyatakan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas Mohd. Asraf Redzuan, 41.

Suasana pilu menyelubungi mahkamah itu apabila tertuduh menangis dan memeluk ibunya selepas selesai prosiding di akhir kes pendakwaan.

Anita dalam penghakimannya berkata, mahkamah membuat penilaian maksimum dan meneliti fakta serta keterangan semua 16 saksi dikemukakan pendakwaan.

“Wujud 13 elemen yang menimbulkan keraguan terutama percanggahan keterangan saksi-saksi yang tidak disokong antara satu sama lain. Mahkamah mendapati kes pendakwaan hanya elemen mengikut keadaan dan dua pertuduhan itu adalah cacat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memerintahkan Mohd. Asraf dibebaskan tanpa perlu membela diri manakala pasport dan kos ikat jamin dikembalikan semula.

Sebelum ini, dia yang ketika itu bertugas Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Tanah Dan Daerah Kuala Langat berdepan dua pertuduhan meminta wang RM5,000 dan menerima upah RM2,000 daripada seorang lelaki berusia 44 tahun.

Ia sebagai dorongan membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja-kerja menurap semula Lorong Orkid 4 dan Lorong Kenanga 1, Kampung Batu 10, Kebun Baru, Daerah Kuala Langat dengan harga kerja RM95,362.80.

Perbuatan itu dilakukan di Pejabat Pentadbiran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan sebuah cawangan bank di daerah ini pada 11 November 2020 dan 24 Februari 2021.

Justeru, Mohd. Asraf didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd. Aliff Shahruzaman manakala tertuduh diwakili peguam Mahmud Abdul Jumaat.

Seramai 16 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya