Bekas guru bahasa Arab kekal dipenjara 9 tahun pegang kemaluan murid

Bekas guru bahasa Arab kekal dipenjara 9 tahun pegang kemaluan murid

MOHD. Shahril Shaffie hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya bagi rayuan akhir kes amang seksual fizikal terhadap muridnya. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang bekas guru bahasa Arab sebuah sekolah rendah, kekal dipenjara sembilan tahun dan dikenakan dua sebatan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap murid lelaki berusia 10 tahun dengan memegang kemaluan mangsa, enam tahun lalu.

Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memutuskan demikian terhadap Mohd. Shahril Shaffie, 38, yang turut dipanggil ‘Ustaz’ selepas menolak rayuan akhirnya.  Hukuman berkuat kuasa bermula hari ini.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen pada 30 September 2020 yang disahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 28 Februari 2023.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Ahmad Zaidi berkata, rayuan tersebut tiada merit kerana keterangan mangsa dalam kes itu turut disokong oleh keterangan saksi-saksi lain.

Menurut beliau, Mahkamah Sesyen yang mendengar kes itu telah mencapai dapatan yang kukuh dan disahkan oleh Mahkamah Tinggi manakala hukuman penjara sembilan tahun munasabah dan tidak keterlaluan.

“Kami tidak bersetuju bahawa hukuman yang dikenakan adalah melampau kerana perayu merupakan guru dan diamanahkan untuk mendidik kanak-anak namun dia telah menyalahgunakan kedudukan tersebut.

“Tidak dinafikan, mangsa mengalami trauma kerana kejadian itu manakala sekolah yang merupakan institusi pendidikan turut terkesan. Kesalahan itu serius dan kami tidak mempertimbang rayuan untuk sabitan dan hukuman.  Perintah komital dikeluarkan dan hukuman berkuat kuasa hari ini,” ujar beliau.

Panel itu turut mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen agar perayu menjalani kaunseling pemulihan selama lapan tahun dan menjalani pengawasan polis selama tiga tahun selepas menjalani hukuman penjara.

Perayu disabitkan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak lelaki itu dengan cara memegang kemaluan mangsa bagi tujuan seksual, antara pukul 12.15 dan 12.45 tengah hari pada 22 November 2018 di rumahnya (guru) di Subang Bestari, Shah Alam.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh dikenakan sebatan.

Terdahulu, peguam Aqbal Shiffudin Adnan Sallehuddin ketika berhujah mempertikaikan keterangan awal mangsa kepada ibu bapanya berhubung kejadian yang menurutnya tidak konsisten.

Beliau berhujah, mangsa menceritakan kejadian amang seksual itu berlaku hanya sekali iaitu di rumah guru berkenaan.  Dia sebaliknya memberitahu bapanya kejadian berlaku dua kali iaitu di rumah guru dan dalam keretanya. 

Pada peringkat itu, Hakim Azmi menarik perhatian mahkamah bahawa mangsa menceritakan kejadian itu berlaku di tempat yang sama, bukan di tempat berlainan.  

Sementara itu, Hakim Noorin turut mencelah bahawa keterangan mangsa turut disokong oleh rakaman Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang memperlihat kedua-duanya kembali ke sekolah pada waktu tengah hari kerana ketika itu berlangsung majlis penyampaian anugerah.

Berkaitan hukuman, peguam berhujah tempoh sembilan tahun adalah keterlaluan kerana kes itu hanya melibatkan sentuhan, bukan kesalahan rogol dan melibatkan satu insiden sahaja.

Ujarnya, perayu yang berstatus duda tinggal dengan ibu bapa yang masing-masing berusia 63 dan 65 tahun.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom berhujah, keterangan kes begitu melimpah ruah manakala keterangan mangsa pula konsisten dan disokong oleh saksi-saksi lain.

“Keterangan mangsa konsisten dan tidak diganggu gugat meskipun disoal balas secara bertubi-tubi oleh peguam. Mangsa bukan sahaja trauma malah kejadian itu turut memberi kesan kepada kedua-dua ibu bapanya yang berasa marah kerana anak mereka diperlakukan sedemikian,” hujahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN