Bekas anggota tentera terlepas hukuman mati bunuh ibu tunggal anak tujuh - Utusan Malaysia

Bekas anggota tentera terlepas hukuman mati bunuh ibu tunggal anak tujuh

WARDEN penjara mengawal banduan yang dibawa ke Kompleks Mahkamah Alor Setar untuk mendengar keputusan semakan kehakiman hukuman mati. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Mahkamah Persekutuan hari ini mengenepikan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang anggota tentera atas kesalahan membunuh ibu tunggal anak tujuh, 10 tahun lalu.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.

Muhammad Yusyairi Saidin, 47, yang menjalani hukuman di Penjara Pokok Sena dijatuhi hukuman penjara 38 tahun dari tarikh dia ditangkap pada 31 Oktober 2014 dan dikenakan 12 sebatan.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Yusyairi didapati bersalah membunuh Hasma Norlela Zaini, 53, di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Inas di Baling antara pukul 2.30 hingga 7 pagi, 21 September 2014.

Peguam Hasnan Hamzah yang mewakilinya memohon agar mahkamah mengenepikan hukuman mati itu dan digantikan hukuman penjara 33 hingga 35 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amir Abdul Karim tidak membantah pindaan hukuman mati itu, namun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sehingga 40 tahun mengambil kira perbuatan terhadap mangsa ketika kejadian.

Berdasarkan fakta kes, mayat ibu tunggal tersebut yang juga kekasih Muhammad Yusyairi ditemukan tertiarap dalam keadaan tanpa pakaian dengan kesan luka pada anggota badannya.

Bedah siasat mendapati sekurang-kurangnya 17 luka tikaman pada bahagian anggota badannya dan ekoran itu bekas anggota tentera yang berusia 36 tahun ketika kejadian ditahan di sebuah kem di Perak pada September 2014. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya