KUALA NERUS: Polis mengesan beberapa kesalahan jalan raya peserta Program Himpunan RX-Z Members 6.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, di sini, yang berakhir hari ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin, berkata, perkara itu berlaku meskipun peringatan telah diberikan oleh pihak berkuasa sempena himpunan selama dua hari itu.
Bagaimanapun, menurutnya, tiada saman dikeluarkan pihaknya sebaliknya, hanya diberikan notis kepada pesalah berdasarkan pemerhatian sepanjang program terbabit.
“Masih ada segelintir peserta melanggar peraturan dan tidak menghiraukan amaran oleh pihak berkuasa antaranya kesalahan tiada cermin sisi dan menggunakan ekzos bising.
“Secara keseluruhan, saya dapati susun atur program agak baik dan berpuas hati dengan perjalanan program disebabkan kerjasama baik antara pihak penganjur dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Tiada insiden kemalangan atau kecurian motosikal tetapi sekurang-kurangnya tiga laporan diterima membabitkan penipuan rumah inap terhadap peserta program,” katanya.
Mohd. Khairi ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Himpunan Program RX-Z Members 6.0 di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Program berkenaan berjalan lancar dengan kehadiran lebih 50,000 peserta dari pelusuk negara termasuk Sabah dan Sarawak dengan pelbagai acara disediakan bermula semalam.
Antaranya program bual bicara santai bersama penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus, persembahan pentas oleh artis tempatan serta pameran motosikal daripada peminat jentera dua roda itu.
Turut menjadi tarikan adalah cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama sebuah kereta mewah Toyota Vellfire, motosikal Ducati Multistrada dan Yamaha RX-Z. – UTUSAN