SHAH ALAM: Kerajaan bersedia untuk menyalurkan peruntukan lebih besar bagi meneruskan usaha membawa pulang dokumen dokumen-dokumen penting negara termasuk artifak dan bahan sejarah yang tersimpan di negara lain.
Antara negara-negara terlibat dikenal pasti adalah Portugal dan Belanda serta di Eropah yang pernah menjajah wilayah ini sejak zaman kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka pada 1511.
Selain itu, ia termasuk juga United Kingdom (UK) dan Jepun serta negara-negara Komanwel yang pernah menjadi rangkaian pemerintahan kolonial British.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan membawa perkara itu ke dalam Mesyuarat Kabinet pada minggu hadapan bagi menyalurkan peruntukan lebih besar kepada Jabatan Arkib Negara (Arkib) untuk melaksanakan usaha tersebut.
Menurutnya, bahan sejarah bukan sahaja penting kepada pengkaji dan penyelidik, tetapi diperlukan oleh golongan pembuat dasar serta ahli-ahli politik.
“Biarpun kini kesedaran itu makin menebal dalam kalangan kita dalam kalangan pakar-pakar sejarah dan pelbagai bidang, namun masih banyak bahan-bahan berkaitan sejarah tanah air berada di luar negara.
“Rekod-rekod itu penting, bukan sahaja buat penyelidik, tetapi ia juga menjadi bahan bukti bagi tujuan kajian, penyelidikan dan rujukan berkaitan dengan pelbagai aspek termasuk dengan pembinaan bangsa dan negara, pembangunan ekonomi, kemasyarakatan, kewilayahan, keselamatan, persempadanan dan kedaulatan negara,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Sejarah dan Perpaduan Nasional 2024, hari ini.
Jelasnya, usaha pengumpulan bahan dan sumber sejarah perlu dilakukan dan memperkasa kaedah penyimpanan serta pemeliharaan yang teratur berikutan ia merupakan khazanah intelektual tidak ternilai harganya.
Sementara itu, Ahmad Zahid ketika ditemui pada majlis tersebut memberitahu dokumen, bahan sejarah dan artifak negara bukan sahaja dicuri ketika zaman penjajahan, malah ada dirampas dan dibawa keluar secara peribadi oleh pihak tertentu sehingga merugikan negara.
“Harganya mungkin mahal, itulah yang dimaksudkan supaya bahan-bahan itu dapat dibawa balik ke Malaysia untuk dijadikan sebagai bahan sejarah, bukti dan memang keperluan itu sangat mendesak bukan hanya termasuk dokumen yang pada hemat saya masih terdapat di luar negara.
“Perlu dirunding terutama dari segi harga dan juga tentang kebolehan untuk mereka mengeluarkan bahan itu dari tempat simpanan mereka. Berapa pun harganya saya fikir usaha mesti dibuat.
“Kita akan teliti beberapa keperluan yang dimohon oleh kementerian (Kementerian Perpaduan Negara). (Bahan sejarah) Bukan hanya dicuri, tetapi ada yang dirampas, dibawa sebagai dokumen yang sulit dibawa oleh pegawai berkenaan secara peribadi atau rasmi,” jelasnya.
Katanya lagi, pembiayaan bagi usaha tersebut juga perlu dibantu oleh organisasi swasta khususnya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GILC). – UTUSAN