Batal kontrak sewa Black Hawk jika gagal hantar hingga Oktober - Utusan Malaysia

Batal kontrak sewa Black Hawk jika gagal hantar hingga Oktober

MOHAMED KHALED Nordin (tiga dari kiri) merasmikan My Villa di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Pertahanan (Mindef) akan membatalkan kontrak perolehan khidmat sewaan helikopter Black Hawk bagi Tentera Darat Malaysia (TDM) sekiranya pembekal gagal menepati masa yang diberikan sehingga Oktober ini.

Walau bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, pada masa ini pihaknya belum membuat keputusan membatalkan kontrak penghantaran empat helikopter sewaan berkenaan.

“Jika tiada penghantaran, akan batal (kontrak pembekal). Perancangan lain akan dibuat selepas pembatalan,” katanya diminta mengulas keputusan Mindef berhubung pembatalan kontrak perolehan perkhidmatan sewaan empat helikopter Black Hawk.Beliau ditemui selepas merasmikan My Villa di Dewan Felda Air Tawar 3, dekat sini hari ini.

Pada awal bulan lepas, Mohamed Khaled dilaporkan berkata Mindef sudah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk TDM.

Sebelum ini, Mindef dilaporkan akan membuat penilaian menyeluruh terhadap perjanjian pajakan empat helikopter Black Hawk sebelum menentukan langkah seterusnya, sama ada untuk membatalkan kontrak atau memberikan masa tambahan kepada pembekal.

Pada 16 Julai lalu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dilaporkan berkata, peperangan berlarutan di Ukraine menjadi antara punca kelewatan perolehan perkhidmatan sewaan helikopter jenis UH-60A Black Hawk seperti yang dimaklumkan oleh pihak Aerotree Defence and Services Sdn. Bhd., iaitu syarikat yang dipertanggungjawabkan dalam kontrak perolehan perkhidmatan sewaan helikopter berkenaan.

Ditanya tentang punca kematian Penyelam Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA), Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa ketika membuat selaman dalam operasi menyelamatkan bangkai kapal KD Pendekar di perairan Tanjung Pengelih, di sini pada 28 Oktober lalu, Mohamed Khaled memaklumkan, laporan penuh dijangka akan diperoleh dalam tempoh sebulan.

“Bedah siasat kita sudah buat untuk Allahyarham, tetapi laporan macam mana Allahyarham sama ada tersangkut atau bagaimana, kita kena buat siasatan rapi, dalam tempoh sebulan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN