Bapa maut dihempap pokok ketika berkhemah - Utusan Malaysia

Bapa maut dihempap pokok ketika berkhemah

KEADAAN pokok yang menghempap khemah sehingga mengorbankan Che Zakariah Che Ali di tapak perkemahan, Kem Nemo, Pantai Balok, Kuantan, Pahang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seorang anak tidak menyangka kegembiraan ahli keluarganya berkhemah bertukar tragedi apabila bapa mereka maut dihempap pokok di tapak perkhemahan, Kem Nemo, Pantai Balok, Kuantan, Pahang, semalam.

Nur-Ain Che Zakariah, 31, berkata, sebelum kejadian, dia bersama 14 ahli keluarganya termasuk bapanya, Che Zakariah Che Ali, 68, dan ibunya, Ramlah Mohamad, 60, serta lima kanak-kanak tiba di tapak perkhemahan itu kira-kira pukul 2 petang, pada Isnin.

“Sebelum bertolak, ayah saya agak bersemangat untuk menyertai perkhemahan untuk meluangkan masa bersama anak-anak dan cucu sebab kami tinggal berjauhan.

“Kalau sebelum ini, biasanya ibu saya yang akan siapkan barang-barang dan bersiap terlebih dahulu, namun kelmarin (Isnin), ayah yang bersiap lebih awal dan angkut pakaiannya masuk ke dalam kereta,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Felda Cherul, di sini, hari ini.

Anak keempat daripada tujuh adik beradik itu berkata, pada awalnya mereka merancang untuk bermalam selama dua hari, namun dia mengajak bapanya serta ahli keluarganya untuk pulang lebih awal.

“Pagi semalam, saya beritahu ayah untuk balik selepas makan tengah hari dan ayah bersetuju.

“Ayah sempat makan tengah hari dan selepas makan, hujai renyai-renyai turun. Kami duduk berteduh sebentar di sekitar khemah sebelum menunggu untuk mengemas barang sebelum pulang,” katanya.

Bagaimanapun, Nur-Ain berkata, secara tiba-tiba sebatang pokok besar menghempap khemah menyebabkan bapanya tersepit dihempap dahan pokok berkenaan.

“Kejadian berlaku hanya sekelip mata. Ayah duduk atas kerusi di belakang khemah saya dan kaki serta badannya sebelah kanan dihempap dahan yang agak besar sementara ahli keluarga saya yang berada dalam khemah masing-masing dapat menyelamatkan diri.

“Pihak pengurusan tapak perkemahan membantu mengalihkan dahan yang menghempap ayah dan ketika itu ayah masih bernyawa. Ahli keluarga saya sempat mengajar ayah mengucap sebelum dia pergi dengan tenang,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.

Nur-Ain berkata, kejadian itu turut menyebabkan anak saudaranya, Nurul Amni Aisyah Mohamad Afiq, 7, cedera di bahagian kepala dan menerima jahitan dan masih dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

Beliau menambah, bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Cherul di sini, kira-kira pukul 2.30 pagi tadi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN