Bank pusat AS turunkan kadar faedah kali pertama selepas empat tahun - Utusan Malaysia

Bank pusat AS turunkan kadar faedah kali pertama selepas empat tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengurangkan kadar pinjaman utama sebanyak setengah mata peratusan, kali pertama dalam tempoh lebih empat tahun, membolehkan penurunan secara mendadak kos pinjaman sebelum pilihan raya presiden November ini.

Keputusan Fed AS akan memberi kesan terhadap kadar faedah, di mana bank perdagangan memberi pinjaman kepada pengguna dan perniagaan, mengurangkan kos peminjaman ke atas semua pinjaman daripada gadai janji kepada kad kredit.

Langkah itu menandakan permulaan berakhirnya persekitaran kadar faedah tinggi Fed AS yang bertujuan membendung permintaan, dengan inflasi kini mereda ke arah sasaran dua peratus jangka panjang bank pusat itu.

Bagi pasaran buruh pula terus stabil di tengah-tengah ekonomi pasca Covid-19 yang sangat berdaya tahan.

Indeks saham utama AS ditutup lebih rendah berikutan keputusan Fed.

Fed AS berkata, pembuat dasar mengundi 11 berbanding satu memihak kepada penurunan kadar penanda aras bank pusat kepada antara 4.75 peratus dan 5.00 peratus.

“Mereka juga membuat potongan separuh mata tambahan sebelum akhir tahun ini, dan tambahan pemotongan mata peratusan pada 2025,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Fed, Jerome Powell kepada pemberita selepas keputusan itu diumumkan berkata, sudah tiba masa untuk menentu ukur semula dasar mereka kepada sesuatu yang lebih sesuai.

“Ini memandangkan perkembangan mengenai inflasi dan pekerjaan yang bergerak ke tahap yang lebih mampan, dan ini adalah permulaan proses itu,” katanya.

Penganalisis secara umumnya menjangkakan Fed AS akan mengurangkan kadar faedah, tetapi tidak pasti akan berlaku pengurangan sebanyak 25 mata asas atau 50 mata asas.

Pemotongan yang lebih kecil akan menjadi langkah yang lebih konvensional, manakala pengurangan yang lebih besar memerlukan banyak usaha bagi merangsang permintaan, namun turut membawa risiko yang lebih besar untuk mencetuskan semula inflasi.

Sementara itu, Calon Presiden Demokrat dan Naib Presiden AS, Kamala Harris berkata, penurunan itu mungkin menjadi berita baik pihaknya yang bertanding menentang bekas presiden Republikan, Donald Trump dalam pilihan raya akan datang.

“Walaupun pengumuman ini adalah berita yang dialu-alukan untuk rakyat Amerika yang telah menanggung beban harga tinggi, tumpuan saya adalah pada usaha di hadapan untuk terus menurunkan harga,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bekas presiden Republikan itu, Donald Trump berkata pada satu acara di New York kepada pemberita, keputusan bank pusat AS yang bebas itu sama ada tindak balas kepada ekonomi yang ‘sangat buruk’, atau ia telah ‘bermain politik’.

“Bagaimanapun, ia adalah satu luka besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya