Banjir: Terpaksa pecah masuk rumah berkunci untuk selamatkan harta benda

Banjir: Terpaksa pecah masuk rumah berkunci untuk selamatkan harta benda

SUASANA di PPS SK Lahar Yooi, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR : Seorang wakil penduduk dari Kampung Seberang Tok Doi di sini memberitahu, dia dan rakan AJK yang lain terpaksa memecah masuk ke dalam beberapa buah rumah yang berkunci ketika air mula naik demi menyelamatkan harta benda penduduk situ.

Robiah Hassim, 53, berkata, hal ini demikian kerana, ketika banjir berlaku petang semalam, ada penduduk yang tidak dapat pulang ke rumah untuk menyelamatkan barang masing-masing.

Robiah yang selesa disapa sebagai Mak Ndak berkata, ketika kejadian, terdapat lebih daripada 10 buah rumah yang berkunci kerana penghuninya bekerja atau pergi bercuti.

“Masa ‘ayaq’ (air) naik pukul 2 petang semalam itu, kami pi (pergi) tolong selamatkan barang penduduk lain dulu. Rumah saya ‘last’ sekali (yang terakhir).

“Ada juga penduduk yang tahu ada banjir tapi tak mahu pindah masa tu. ‘Depa’ (mereka) kata selamat sebab rumah dua tingkat. Bila ‘depa’ cakap macam tu kami tak boleh kata apa lah,” katanya.

Wanita itu ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi di sini, hari ini.

Ketika ini, seramai 648 mangsa banjir dari 173 keluarga telah dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir yang berlaku di beberapa kawasan di tiga daerah di Seberang Perai ketika ini.

Bagi Robiyah Rashid, 54, air masuk dari kawasan dapur rumahnya dan naik begitu cepat sehingga ke paras pinggang dalam masa yang singkat.

“Saya datang ke sini (PPS) sehelai sepinggang bersama keluarga. Sempat juga pesan kepada anak menantu supaya selamatkan televisyen dan barang-barang elektrik yang lain dulu. Kain baju biar dulu,” kata nenek kepada tiga orang cucu itu yang tinggal di Kampung Sungai Korok, Lahar Yooi di sini.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Zakat Pulau Pinang (ZPP) Zaiasmawi Nayan yang turut padang melawat mangsa banjir berkata, pihaknya akan menyelaraskan semua bentuk bantuan yang diberikan untuk disalurkan kepada mangsa banjir yang terlibat.

“Kami akan pastikan semua keperluan mereka ini mencukupi melalui info daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Penyelarasan ini penting supaya tidak berlaku sebarang pertindihan bantuan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya