Banjir surut, rumah terbakar pula - Utusan Malaysia

Banjir surut, rumah terbakar pula

KEADAAN rumah sewa Salmah Hassan yang terbakar dalam kejadian di Kampung Tongkang Yard, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Malang berganda menimpa dua beranak di Kampung Tongkang Yard, di sini apabila rumah mereka yang baru surut daripada banjir petang semalam akhirnya musnah dalam kebakaran pagi ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 9 pagi ini melibatkan rumah separa kekal yang disewa Salmah Hassan, 73, bersama anak perempuannya, Siti Nazila Rosli, 31, sejak 11 tahun lalu.

Salmah berkata, ketika kejadian mereka tiada di rumah itu kerana sedang menyelesaikan urusan berpindah ke rumah sewa baru di Jalan Langgar akibat tidak tahan kediaman itu sering dilanda banjir.

“Memang kebetulan kami dalam proses berpindah ke rumah baru, jadi ada barangan yang sudah diangkat ke sana tetapi peti ais yang tenggelam banjir baru-baru ini masih berada di rumah ini.

“Banyak juga barangan yang tidak dapat diselamatkan. Saya terkejut apabila dihubungi jiran beritahu rumah kami terbakar, habis lembut lutut, ujian bertimpa-timpa rumah baru saja nak kering air tapi hari ini sudah hangus terbakar.

“Jika ikutkan kami mahu bawa peti ais ke rumah sewa baharu, tapi tak ada rezeki, nak buat macam mana, saya kena terima ujian Allah. Syukur sekurang-kurangnya Allah selamatkan nyawa saya dengan anak kerana jika tidak berlaku banjir ini mungkin kami terus duduk di sini,” katanya.

Siti Nazila pula berkata, dia dan ibunya setiap hari akan pulang untuk melihat keadaan rumah itu terutama ketika banjir melanda.

“Rumah ini memang sering dinaiki air tapi kali ini agak tinggi daripada biasa, setiap hari saya akan pulang untuk lihat keadaan rumah dan mengambil barang yang boleh dibawa ke rumah yang baharu disewa.

“Alhamdulillah, ketika kejadian kami tidak berada di rumah. Saya sepatutnya ke latihan memandu tapi terpaksa batalkan selepas diberitahu rumah terbakar, saya menunggang motosikal ke sini dalam keadaan menggeletar, apabila sampai semuanya sudah musnah terbakar,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah RM30 sehari.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja di sini, Wan Azizul Hakim Wan Jaafar ketika ditemui berkata, bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengawal kebakaran rumah itu.

“Bahagian atas rumah ini kayu menyebabkan api marak dengan cepat dan kita bersyukur api tidak merebak ke rumah berdekatan. Sekarang kita perlu pastikan bara api yang ada terpadam sepenuhnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Terdahulu, Salmah dan anaknya antara penduduk yang menerima bantuan pasca banjir daripada Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) yang kebetulan sedang mengedarkan bakul makanan di kampung itu ketika kebakaran berlaku.

Pengurus Besar Keda, Ismasuhaimi Shariff berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM115,000 untuk penyediaan bakul makanan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di wilayahnya menerusi Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya