Banjir kilat: 60 mangsa dipindahkan setakat ini

Banjir kilat: 60 mangsa dipindahkan setakat ini

BEBERAPA anggota APM Pulau Pinang membantu memindahkan seorang mangsa banjir di Nibong Tebal, Pulau Pinang petang tadi.-GAMBAR/APM PULAU PINANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Sekurang-kurangnya 60 orang mangsa daripada 38 buah keluarga telah dipindahkan ke tujuh buah pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga buah daerah di sini susulan kejadian banjir kilat akibat hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Data itu dikongsikan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang sehingga pukul 5 petang tadi.

Jurucakap APM negeri dalam satu kenyataan berkata, daripada 60 orang mangsa yang terlibat, 44 daripada mereka berada dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) manakala baki 16 mangsa lagi berada dalam kawasan Seberang Perai Selatan (SPS).

Katanya, satu lagi daerah yang terlibat iaitu Seberang Perai Utara (SPU) bagaimanapun tidak melibatkan sebarang mangsa walaupun 25 buah keluarga dilaporkan terjejas akibat bencana itu.

“Kesemua mangsa di SPT ditempatkan di dua buah PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Penanti, Kubang Semang dan Dewan Bukit Teh di Bukit Mertajam manakala 13 mangsa di SPS pula ditempatkan di PPS Dewan MPKK Sanglang di Nibong Tebal,” katanya yang memberitahu, ketika ini, proses pemindahan mangsa di beberapa lokasi di Seberang Perai masih berjalan.

Sementara itu, beliau memberitahu, paras air Stesen Sungai Jawi di Jalan Sungai Jawi, SPS dan Stesen Sungai Muda di SPU dilaporkan berada pada paras bahaya iaitu masing-masing pada tahap 5.60 dan 4.12 meter.

Beliau berkata, satu lagi stesen iaitu Stesen Sungai Jawi di Kampung Sethu di SPS pula kini melepasi paras amaran iaitu 4.46 meter iaitu kurang 0.04 meter daripada paras bahaya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail ketika dihubungi menasihatkan para nelayan khususnya yang berada dalam daerah Barat Daya agar berjaga-jaga susulan kejadian air pasang besar yang berlaku di kawasan pantai Teluk Kumbar di sini.

Katanya, fenomena air pasang besar menyebabkan ada pondok nelayan dan tembok penghadang dilaporkan rosak manakala kawasan jalan pula diselaputi dengan selut dan ada sampan yang terbalik.

“Hampir semua nelayan dengan 100 buah sampan juga tidak tidak keluar ke laut ketika ini dan kami berjaga-jaga sepanjang tempoh 24 jam ini kerana ombak juga dikatakan telah naik hampir setinggi empat meter,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN