Banjir kian pulih, mangsa cuci rumah

Banjir kian pulih, mangsa cuci rumah

MOHD. Izham Abdul Manaf mencuci dan menjemur barangan di rumahnya yang ditenggelami banjir ketika air mula surut di Kampung Suka Menanti, Alor Setar semalam. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Keadaan banjir di Kedah makin pulih apabila beberapa kawasan yang sebelum ini dinaiki air sudah mula mengering yang membolehkan sebahagian mangsa pulang mencuci rumah masing-masing.

Sehingga pukul 5 petang semalam, hanya empat daerah masih terlibat banjir berban­ding tujuh sejak Isnin lalu dengan jumlah mangsa terkini menurun kepada 7,230 orang.

Mengikut rekod terkini Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 4,974 mangsa daripada 1,636 keluarga di Kota Setar masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) sekitar daerah itu.

Pengarah JKM Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, Pendang mencatatkan 1,604 mangsa daripada 488 keluarga, manakala 579 penduduk daripada 179 keluarga di Kubang Pasu.

“Pokok Sena pula merekodkan penurunan drastik apabila hanya 73 mangsa daripada 34 keluarga tinggal di PPS berbanding 485 orang sehingga pukul 5 petang, semalam.

“Sebuah PPS yang dibuka di Bandar Baharu sebelum ini sudah ditutup setelah banjir pulih di daerah itu menjadikan tiga daerah keseluruhan di samping Kulim dan Kuala Muda,” katanya di sini, semalam.

Zulkhairi berkata, PPS yang masih beroperasi di empat da­erah berkenaan pula adalah 35 buah dengan 33 daripadanya merupakan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Sementara itu, penduduk di empat kampung di kawasan Ta­nah Merah, Pendang di sini resah apabila kawasan rumah mereka digenangi banjir termenung sejak bencana itu berlaku seminggu lalu.

Penduduk Kampung Alor Ali, Ahmad Shafie, 34, berkata, rumahnya masih dinaiki air dan hanya dijangka surut dalam tempoh lima hari lagi sekiranya air laut masih pasang.

“Hampir kesemua penduduk telah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sejak kampung kami dilanda banjir menyebabkan kawasan ini sunyi.

“Jadi saya dan rakan mengambil inisiatif untuk meronda beberapa kampung menempatkan kira-kira 500 rumah dengan bot bagi memastikan keadaan terkawal,” katanya.

MOHD. Rashidi Muda termenung di hadapan rumahnya yang masih digenangi air sejak banjir berlaku minggu lalu di Kampung Alor Ali, Pendang. Kedah semalam. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN

Katanya, rondaan dilakukan di Kampung Alor Ali, Kampung Alor Mengkuang dan Kampung Tok Pauh untuk memastikan kawasan kampung selamat daripada kejadian pecah rumah.

“Kami ronda pada sebelah pagi dan petang. Hasil pemerhatian air surut tapi sedikit sahaja iaitu kira-kira dua inci,” jelasnya.

Penduduk kampung sama, Mohd. Rashidi Muda, 48, yang melakukan kerja-kerja kampung berkata, rumahnya sudah seminggu ditenggelami banjir.

“Kami pindah ke PPS, saya dan isteri kadang-kadang balik untuk tengok rumah dan bagi tujuh ekor kucing makan. Kalau tengok sungai, air masih tinggi dan mungkin ambil masa untuk banjir surut sepenuhnya,” katanya.

Ujarnya, banjir kali ini agak teruk berbanding tahun-tahun sebelum ini tetapi tidak seteruk banjir besar pada 2010.

Penduduk Kampung Rambai, Muhammad Affendi Mahmud, 30, pula berkata, rumahnya sudah digenangi air sejak lima hari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN