Banjir: Dua beranak dihanyut arus deras - Utusan Malaysia

Banjir: Dua beranak dihanyut arus deras

TANGKAP layar video menunjukkan dua beranak meredah banjir sebelum hilang dihanyutkan arus deras di Kampung Tanjung Kanan, Kuala Nerang di Padang Terap.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Dua beranak dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir kilat di Kampung Tanjung Kanan, di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu berlaku ketika ibu tunggal dikenali sebagai Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya, Ahmad Rosman Rohadi, 19, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) lembam meredah air untuk pulang ke rumah mereka.

Difahamkan, dua beranak tersebut sebelum itu menaiki motosikal mengikut jalan jauh sejauh lebih tiga kilometer (km) untuk membeli nasi lemak kerana jalan utama ke rumah mereka terputus setelah dinaiki air.

Mereka kemudian meletakkan motosikal di rumah seorang penduduk dan meredah air di laluan mini tar yang ditenggelami air sehingga paras hampir satu meter untuk pulang ke rumah.

Laluan mini tar tersebut dikatakan lebih dekat iaitu kira-kira 1km ke rumah mereka.

Penduduk, Mohd. Amir Mohd Sougelail, 28, berkata, dia menyaksikan sendiri kejadian dua beranak itu dihanyutkan arus deras banjir.

“Orang kampung sudah panggil dua beranak itu supaya jangan redah banjir sebab arus deras tetapi mereka teruskan perjalanan.

“Saya nampak wanita itu berpaut pada pokok getah sebelum anaknya berpatah balik untuk ambil ibunya sebelum kedua-duanya hanyut,” katanya di sini hari ini.

Katanya, orang kampung bertindak memanggil mereka dan wanita itu ada menyahut beberapa kali sebelum senyap.

“Air sangat deras kerana terletak berdekatan Sungai Padang Terap yang melimpah akibat hujan lebat pada malam tadi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Aminuddin Mad Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.29 pagi berhubung kejadian itu.

Katanya, kerja-kerja mencari kini sedang giat dilakukan oleh pasukan bomba dengan bantuan BBP Pokok Sena dan Jitra serta Unit PPDA BBP Sungai Petani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya