Banjir: Cuti anggota bomba dibekukan - Utusan Malaysia

Banjir: Cuti anggota bomba dibekukan

TINJAUAN dari udara keadaan rumah penduduk yang dilanda banjir di Kampung Padang Luar di Kubang Pasu - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah membekukan cuti anggota dan pegawainya susulan situasi banjir yang melanda negeri ini selain jangkaan hujan dan fenomena air pasang besar.

Pengarahnya, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, tindakan itu sebagai salah satu langkah berjaga-jaga diambil pihaknya dalam menghadapi sebarang situasi.

Katanya, pemantauan sentiasa dilakukan terutamanya terhadap rumah-rumah yang terletak berhampiran sungai agar mangsa terlibat dapat dipindahkan ke tempat selamat dengan segera.

“Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan berlaku fenomena air pasang besar dalam tempoh sehari dua ini. Selain itu, MetMalaysia juga mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

“Mana-mana penduduk yang berdekatan sungai juga diminta membuat persiapan awal bagi berdepan segala kemungkinan dan mematuhi arahan berpindah sekiranya diminta berbuat demikian,” katanya selepas mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Malau di sini, hari ini.

Semakan di laman web MetMalaysia menunjukkan jangkaan ribut petir di beberapa kawasan akan berterusan hingga Isnin depan sementara ketinggian ombak antara 1.5 hingga 3.5 meter bermula hari ini hingga Isnin depan.

Sementara itu, Awang Hidzel menasihatkan orang ramai agar menangguhkan seketika hasrat membawa keluarga bercuti atau berkelah di kawasan pantai mahu pun sungai buat masa ini.

“Sempena cuti sekolah, mungkin ramai yang berhasrat untuk membawa keluarga bercuti ke pusat rekreasi air. Namun dinasihatkan agar langkah itu ditangguhkan seketika kerana kita tidak mahu sebarang kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, penggunaan kod QR yang membolehkan mangsa banjir mendaftar di PPS terbukti lebih efisien dan menjimatkan masa selepas pertama kali digunakan di Kedah.

Beliau berkata, langkah itu turut memudahkan urusan agihan bekalan makanan dan bantuan kepada mangsa yang terlibat.

“Apabila mangsa mengimbas QR dan memasukkan maklumat diperlukan, mereka akan terus didaftarkan ke dalam sistem info bencana JKM. Selepas itu, mangsa bersama keluarga akan ditempatkan di PPS dan bekalan makanan akan terus diagihkan.

“Dalam sistem itu akan tertulis bila mereka mendaftar masuk dan keluar. Maka, sistem pemberian bantuan seperti pengagihan wang ihsan juga akan menjadi lebih mudah,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya