Banjir boleh surut, adu domba kekal sampai hari Kiamat - Sanusi - Utusan Malaysia

Banjir boleh surut, adu domba kekal sampai hari Kiamat – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md Nor menyantuni sekumpulan kanak-kanak yang menyertai aktiviti diatur Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di PPS SMK Tanah Merah, Pendang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: “Bila banjir ini surut, adu domba itu akan kekal sampai hari kiamat. Kata-kata fitnah, cakap tak betul pasal orang semua itu akan dibawa ke akhirat mengadap Tuhan.

Demikian kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tentang tuduhan sesetengah pihak susulan ketiadaannya di Kedah semasa negeri itu dilanda banjir sejak Isnin lalu.

Beliau berharap pihak yang terlibat membuat tohmahan itu agar insaf dan tidak mengeluarkan kenyataan yang berada di luar pengetahuan mereka.

“Banjir boleh surut. Saya boleh balik. Tak ada masalah pun tapi tulisan-tulisan, tohmahan-tohmahan itu akan kekal. Musuh paling besar kepada masyarakat kita adalah kejahilan dan bercakap benda yang tak tahu, patut tanya dulu.

“Kita pergi (Jepun) sebelum banjir. Siapa pun tak minta, kita susun kerja kita Allah susun kerja dia. Kita buat pun dengan izin Allah, kita susun nak bagi ada manfaat sebab setiap rancangan perlu tahu betul atau tidak,” katanya selepas meninjau Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah, hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial tuduhan menyatakan Muhammad Sanusi sedang bercuti di luar negara bersama isterinya ketika Kedah dilanda bencana banjir dan ribut.

Sementara itu, Muhammad Sanusi menyatakan situasi banjir di negeri itu berada dalam keadaan terkawal walaupun berlaku peningkatan mangsa banjir terutama di daerah Kota Setar.

“Semua baik, Alhamdulillah terurus dengan sempurna seperti kita hadapi tiap-tiap tahun tanpa perubahan apa-apa dari segi langkah menangani situasi ini. Terima kasih kepada semua agensi kerajaan dan terima kasih juga kepada Perdana Menteri yang datang semalam.

“Banjir ini tidak seburuk 2010 tetapi lebih menyeluruh cuma kita harap peralihan monsun yang akan bermula Selasa ini tidak mendatangkan sekali lagi gelombang kedua banjir,” katanya.

Menyentuh sumbangan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM13 juta bagi tujuan pasca banjir di negeri itu, Muhammad Sanusi amat berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau bagaimanapun meminta Kerajaan Persekutuan mempertimbang peruntukan tambahan yang mungkin diperlukan untuk pemulihan sawah padi dan pembaikan infrastruktur yang rosak. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya