Banjir: Bekalan makanan dijamin cukup - Utusan Malaysia

Banjir: Bekalan makanan dijamin cukup

ARMIZAN Mohd. Ali (dua, kanan) beramah mesra bersama pengguna yang membeli-belah pada Program Jualan Rahmah Madani Mega Negeri Terengganu 2024 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberi jaminan bekalan makanan mencukupi di Pulau Pinang, Kedah dan Perlis yang dilanda banjir sejak Isnin lalu.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata,  pihaknya telah melakukan perancangan lebih awal bagi memastikan bekalan makanan tidak terputus di negeri terlibat banjir.

Menurutnya, antara tindakan yang diambil adalah melantik pemborong terpilih daerah dan peruncit terpilih daerah untuk menghantar bekalan makanan secukupnya di kawasan dilanda banjir.

“Jadi apabila berlakunya banjir, kita akan aktifkan pendekatan tersebut untuk memastikan supaya rakyat (mangsa banjir)  tidak terputus bekalan.

“Kita telah buat persiapan awal menghadapi Monsun Timur Laut kerana kita melihat perubahan cuaca sudah agak sukar diramal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui  selepas Program Jualan Rahmah Madani Mega Negeri Terengganu 2024 di Surau Al-Iman Losong Panglima Perang, di sini, hari ini.

Armizan memberitahu, semua KPDN negeri dan cawangan juga diarahkan untuk sentiasa peka dan bekerjasama dengan jawatankuasa pengurusan banjir di peringkat negeri dan daerah dalam menyelaras bekalan makanan.

Tambahnya, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertangggungjawab menyediakan bakul makanan kepada mangsa banjir terjejas.

“Kita akan membantu bersandarkan kepada maklum balas daripada agensi-agensi lain sekiranya ada keperluan, maka kita akan usahakan bekalan tambahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya