Banjir, air pasang besar bawa sampah ke darat

Banjir, air pasang besar bawa sampah, bangkai ikan lumba-lumba ke darat

Ppenunggang motosikal melihat sampah yang dihanyut di pesisiran pantai berikutan fenomena air pasang di Kuala Perlis semalam. – UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pertembungan banjir akibat hujan lebat dan feno­mena air pasang besar di perairan negeri ini menyebabkan sampah-sarap yang dibawa dari laut ‘melimpah’ di jalan di pesisiran pantai antara Kuala Su­ngai Baru hingga Sungai Padang, Sanglang di sini.

Sampah khususnya botol plastik dan pelbagai lagi jenis sampah lain itu dilihat ber­taburan di laluan sepanjang 2.6 kilometer tersebut termasuk yang tersangkut di batuan tembok pemecah ombak di pantai berkenaan.

Kewujudan sampah yang memenuhi jalan berkenaan sekali gus turut menyukarkan ken­deraan yang melalui laluan berkenaan.

Situasi tersebut menimbulkan persoalan mengenai betapa seriusnya pencemaran laut yang memperlihatkan bagaimana sampah yang dibuang ke laut itu kembali semula ke darat.

Lazimnya, dahulu apabila berlakunya fenomena air pasang hanya menyebabkan air melimpah mengundang banjir kilat, kini mula menyaksikan limpahan sampah.

Selain sampah, bangkai ikan lumba-lumba juga ditemukan terdampar di Kurung Tengar, Kuala Perlis di sini akibat di­hanyutkan ombak dan arus deras berikutan fenomena air pasang itu.

Bangkai ikan lumba-lumba yang ditemukan itu adalah daripada spesies irrawady dolphin (Orcaella brevirostris).

Sementara itu, Koordinator Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (Grass) Perlis, Rosnani Nazri berkata, keba­nyakan sampah yang hanyut ke darat itu berikutan fenomena air pasang itu adalah plastik yang dibuang ke laut.

Katanya, pihaknya berharap semua pihak mendapat keseda­ran dan bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar yang bermula dari rumah.

“Alam juga seperti ‘marah’ kepada perbuatan membuang sampah ke dalam sungai dan laut malah setiap pihak perlu beri contoh serta pengajaran yang baik kepada keluarga, jiran mahu pun komuniti setempat,” katanya.

Fenomena air pasang itu juga menyebabkan beberapa kawasan di pesisiran pantai di sini dinaiki air. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN