Banjir: 202 isi rumah terima RM1,500 di Pulau Pinang

Banjir: 202 isi rumah terima RM1,500 di Pulau Pinang

SHAMSUL Iskandar Mohd. Akin (empat dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada seorang mangsa banjir di Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Kerajaan Persekutuan bersetuju memberi sumbangan berjumlah RM1,500 kepada setiap 202 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bantuan wang ihsan sebanyak RM1,000 disalurkan kepada penerima manakala baki RM500 lagi adalah sumbangan peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan beban yang ditanggung mangsa.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, bantuan berkenaan diberikan kepada setiap keluarga yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) minggu lalu.

“(Sumbangan) ini membuktikan bahawa Perdana Menteri dan kerajaan sangat prihatin dan terkesan dengan tragedi yang menimpa mangsa. Mudah-mudahan, sumbangan ini dapat membantu meringankan beban dan mempermudahkan mangsa untuk memperbaiki apa-apa kerosakan yang berlaku disebabkan banjir.

“Kita akan terus bekerja keras bagi memastikan bantuan sama ada kewangan, perubatan dan makanan diberi segera kepada yang memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bantuan kepada mangsa bencana di Sungai Dua di sini, hari ini.

Sementara itu, salah seorang mangsa, Hamid Hashim, 69, berkata, bencana yang berlaku di Padang Menora, Tasek Gelugor itu menyebabkan kebanyakan perabot di kediamannya rosak.

“Air naik dengan cepat, malah, tak sempat nak selamatkan barang-barang. Tapi, mujurlah semua ahli keluarga selamat. Dengan bantuan yang diterima ini, dapatlah saya menggantikan barangan dan perabot yang yang rosak,” katanya.

Untuk rekod, dari 17 hingga 21 September lalu, sebanyak 11 PPS telah dibuka di tiga daerah iaitu Seberang Perai Tengah (SPT), Seberang Perai Selatan (SPS) dan Seberang Perai Utara (SPU) membabitkan 760 mangsa daripada 202 keluarga.

Terdahulu, Perdana Menteri pada Sabtu lalu telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM13 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk membantu mangsa banjir di Kedah.

Kerajaan turut menyalurkan sumbangan sebanyak RM1,000 menerusi NADMA dan RM1,000 lagi melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir di Kedah.

Pada masa yang sama, Anwar dilaporkan turut menyampaikan sumbangan peribadi menerusi ICU Perlis kepada 46 keluarga yang ditempatkan di empat PPS di negeri itu di samping bantuan yang disalurkan melalui NADMA.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN