Banjir: 16,000 anggota APM sedia digerakkan - Utusan Malaysia

Banjir: 16,000 anggota APM sedia digerakkan

AMINURRAHIM Mohamed (tengah) bergambar bersama anggota APM pada Majlis Perasmian Penutupan Himpunan Pertahanan Awam (HiPA) Zon Timur di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) belum berhasrat meminta bantuan tambahan anggota bagi menangani situasi banjir di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, keadaan banjir masih terkawal buat masa ini dengan persiapan rapi semua agensi yang terlibat.

Beliau berkata, APM juga mengambil langkah segera dengan kira-kira 16,000 anggota termasuk sukarelawan sedia untuk digerakkan di tiga negeri terlibat.

“Setiap tahun APM ada pelan bantuan dari negeri-negeri jiran berlaku bencana tetapi gerakan itu belum diperlukan di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

“APM turut mengambil kira tiada amaran cuaca ekstrim, jadi kami berharap keadaan semakin pulih dan tiada kerosakan harta benda atau kehilangan nyawa.

“Keadaan banjir di Pulau Pinang dan Perlis semakin baik cuma bilangan mangsa di Kedah sedikit meningkat tetapi secara keseluruhan situasi itu sedang ditangani,” katanya.

Aminurrahim berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutupan Himpunan Pertahanan Awam (HiPA) Zon Timur di sebuah hotel di sini, hari ini.

Setakat pukul 2.50 petang tadi, jumlah mangsa banjir di Kedah dilaporkan meningkat kepada 3,845 membabitkan 1,147 keluarga di tujuh buah daerah.

Selain itu, beliau memberitahu, APM merekodkan sejumlah 9,116 kes pokok tumbang sejak 1 Januari tahun ini sehingga semalam.

Jelasnya, kejadian berkenaan membabitkan 16,906 bilangan mangsa di seluruh negara.

“Kes paling tinggi dikesan adalah pada bulan ini iaitu sebanyak 1,724 kejadian diikuti 1,440 kes pada bulan Jun dan 1,280 pada bulan Mei,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN