Balada sentimental Marsha Milan yang melelahkan

Balada sentimental Marsha Milan yang melelahkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Andai dihimpun kesemua rangkaian lagu sejak Marsha Milan merakam hits berjudul Cinta (2021) hingga kini, dia mungkin sudah mempunyai satu album long play (LP) pop dan power ballad pertama, yang beredar dalam pasaran muzik sekarang.

 

 

 

Sejak Cinta merai Naib Juara dan Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL36) 2022, baharulah kita lebih terbuka menerima kehadirannya di pentas arus perdana, menerusi single yang bergerak selepas itu seperti Kembali Terang, Darah, Dulu Kini dan Akhirnya, Hening Rindu, Kala Tiba dan yang terbaharu, Jika Takdir.

Jika bukan kerana Cinta nukilan Bunga Cantik dan Hang Nadim, Marsha tidak mungkin berada di peringkat yang dia berdiri sekarang, menyaksikan penyanyi lagu Untuk Terakhir Kali itu lebih rancak merakam lagu-lagu pop komersialnya.

Namun, memilih menghasilkan single demi single setiap tahun, apakah hanya setakat itu dia mampu lakukan? Apakah kerjaya muziknya hanya berkisar kepada penghasilan satu demi satu lagu untuk dipertanding dan tewas seperti Kembali Terang dan Darah di AJL?

Selain konsert solo berskala mega, album menjadi pelengkap portfolio seseorang penyanyi. Pun begitu, sepanjang 19 tahun bermuzik, Marsha belum ada album penuh dan kuat.

Sebaliknya hanya dua album extended play (EP) Yang Pertama (2011) dan Anthology (2018) yang memuatkan lagu Sumandak Sabah (duet bersama Velvet Aduk).

Begitu pun, kedua-dua album mini itu bergerak di skala biasa sahaja dan saya tidak nampak di mana tahap keseriusan bermuzik Marsha, kerana trek lagunya agak janggal untuk diperdengar dalam ruangan massa.

Lagi pula, jenama Marsha ketika itu juga belum cukup established. Sebab itu, himpunan lagu terbaharu yang konsisten diterbitkan dalam jarak masa singkat, seolah-olah memberi petanda dia sepatutnya sudah memiliki album yang lengkap strukturnya.

Saya suka sahaja kesemua lagu dirakam selepas Cinta. Namun, akibat meneruskan formula sama dan dipersembah dalam lagu-lagu yang beredar selepas itu, saya musykil jika Marsha dapat mengembalikan aura dalam Cinta.

Dengan format merintih dan menjerit-jerit di dalam Kembali Terang, Dulu Kini dan Akhirnya serta Hening Rindu, bagi saya cukup melelahkan kerana dia sudah melampiaskan kesemuanya pada karya agung itu.

Yang membezakan persembahan hanya hasil produksinya melibatkan komposer, penulis dan melodi. Jadi, saya tidak tahu apa lagi yang mahu dia buktikan? Dari serendah-rendah nada hingga ke nada tinggi, Marsha sudah mencurahkan sepenuhnya pada lagu fenomena itu.

Tetapi, saya cuba adil dalam situasi ini kerana niche nyanyiannya sudah dibentuk sebegitu sejak merakam lagu sulungnya, Untuk Terakhir Kali (2005). Marsha hanya meneruskan apa yang dia mulakan selepas menamatkan pertandingan Akademi Fantasia 3 (AF3).

Saya menyemak balik diskografi Marsha, ada beberapa lagu saya percaya cukup kuat alurnya seperti Ruang Kedua (menampilkan Julian Cely), Tak Perlu Selamanya dan single ciptaan Ajai,

Kesudahan kita. Tetapi, formula sebegini masih gagal mendapat ruang dalam sfera muzik tempatan sehingga terkubur begitu sahaja.

DUET

Marsha tiada gandingan penyanyi yang benar-benar serasi membawa lagu duetnya ke tahap lebih tinggi. Walaupun mempunyai melodi dan penghasilan bunyi berkualiti, namun, dia perlu lebih bijak memilih rakan duetnya, supaya pelaburannya tidak sia-sia.

Namun, hal itu tidak terpancar selepas dia merakam Cinta Hati bersama penyanyi tempatan Sabah, Fanzi Ruji dan single itu hanya benar-benar sampai kepada pendengar secara setempat menerusi versi asal dalam bahasa Dusun berjudul Ika Noh.

Lebih sendu selepas dia menukar haluan muzik duet bersama Hazama menerusi lagu pop rock, Ilusi (2023) ciptaan Iqie Hugh, Shazriq Azeman dan Omar K., malangnya lagu itu juga tidak mendapat sambutan. – UTUSAN

Selain Sumandak Sabah, Oi Gaman dan Aramaitiii (bersama Velvet), kebanggaan saya tertumpu pada lagu malar segar Cinta Sesungguhnya (Sabhi Saddi), walaupun bahagian nyanyiannya hanya serangkap dua, namun lagu itu antara kejayaan komersial duetnya selama ini.

Saya akui, Marsha sebenarnya merupakan simbolik kepada penyatuan budaya, kerana dia antara penyanyi Sabah terkelas yang terus relevan di pentas muzik kebangsaan sepanjang hampir dua dekad ini.

Sudah berapa ramai penyanyi kelahiran negeri itu cuba menempah nama di peringkat nasional, namun, akhirnya pulang ke kampung halaman dan menggerakkan jaluran muzik dalam skop lebih kecil?
Saya tidak pernah menolak corak vokal penyanyi seperti Marsha. Gaya muziknya boleh diterima di mana-mana.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya