Bakal muncul dalam drama Hong Kong, Andy Teh bersyukur walaupun sekadar watak kecil - Utusan Malaysia

Bakal muncul dalam drama Hong Kong, Andy Teh bersyukur walaupun sekadar watak kecil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Andy Teh, 38, berlapang dada selepas terlepas peluang untuk memegang watak penting dalam drama Hong Kong, Fearless The Hidden Kingdom yang dilakonkannya, baru-baru ini.

Meskipun kecewa, pemilik nama sebenar Andy Teh Him Kuat ini tetap bersyukur kerana terpilih untuk membintangi drama yang turut dijayakan pelakon Hong Kong popular, Michael Liu itu.

“Peranan saya, yang pada awalnya sebagai antagonis utama, ditukar pengarah kepada antagonis biasa disebabkan saya tidak fasih bercakap dalam bahasa kantonis seperti yang dituturkan masyarakat Hong Kong.

“Saya kecewa sebab ini peluang pertama saya mencipta nama di Hong Kong.

“Disebabkan itu saya harap dapat beri persembahan terbaik bagi projek luar negara saya yang pertama,” katanya selepas pelancaran Elitez MMA Gym Mont Kiara, di sini.

Kata Andy, tuntutan drama tersebut, yang mengetengahkan pertuturan bahasa kantonis, menimbulkan sedikit dan kesukaran dalam lakonannya.

“Walaupun berbangsa Cina, saya tidaklah arif berbahasa kantonis kerana ketika kecil saya belajar di sekolah kebangsaan. Tambahan pula, pertuturan bahasa dalam drama ini adalah kantonis Hong Kong.

“Kerana itu, ketika menerima skrip, saya terpaksa gunakan aplikasi Google Translate, selain banyak bertanya kepada pelakon lain untuk fahamkan babak.

“Saya tak nafikan keadaan itu memang mencabar. Tetapi saya bersyukur kerana berjaya melepasinya,” jelasnya.

Mengulas mengenai pusat latihan kecergasan yang diasaskannya bersama pelakon Hun Haqeem itu, Andy memaklumkan antara tujuan utama pembukaan gimnasium berkenaan adalah untuk mewujudkan komuniti cintakan kecergasan dalam kalangan masyarakat.

“Pusat kecergasan ini bukan sekadar untuk memberi pendedahan kepada seni mempertahankan diri seperti Muai Thai atau Jiujitsu, tetapi juga mewujudkan kesedaran mengenai gaya hidup sihat.

“Pada masa yang sama, kami berhasrat untuk menjadikan gimnasium ini sebagai pusat latihan lakonan aksi bagi pelakon tempatan.

“Ramai pelakon yang berdepan kekangan masa dan tak tahu pusat latihan untuk mantapkan lakonan aksi mereka. Jadi mereka boleh datang ke sini untuk berlatih,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya