TASEK GELUGOR : Seorang pelajar cemerlang yang bakal mendaftarkan diri untuk mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) menghela nafas lega apabila terpilih sebagai penerima Program Pembangunan Siswa Sulung (SULUNG) 3.0.
Syaidinatul Firzanah Zul Hisham, 19, yang kematian bapa 15 tahun lalu berkata, dia amat bersyukur kerana bantuan yang diterimanya itu dapat membantu meringankan beban keluarga terutama ibunya, ibunya Roslina Lazim, 51, ketika ini.
“Sejak kecil, saya bercita-cita untuk melanjutkan pengajian ke USM dan syukur, impian itu tercapai selepas mendapat tawaran untuk mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Sains Dalam Kimia.
“Sejujurnya, bantuan yang diterima ini sedikit sebanyak meringankan beban keluarga apatah lagi sumber kewangan utama kami ketika ini bergantung kepada pencen arwah ayah iaitu sebanyak RM1,100 sebulan.
“Kini, saya bersama ibu, kakak dan adik tinggal di rumah peninggalan nenek sejak ayah meninggal akibat sakit jantung,” katanya ketika ditemui di Kampung Air Melintas Besar, Tasek Gelugor di sini, hari ini.
Terdahulu, Syaidinatul Firzanah menerima kunjungan daripada Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed ke rumahnya itu bagi menyerahkan surat tawaran untuk program berkenaan.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, program Siswa SULUNG memfokuskan generasi pertama dalam keluarga B40 yang dapat melanjutkan pengajian ke universiti bagi peringkat Ijazah Sarjana Muda.
“Bagi Sidang Akademik 2024/2025, USM menyasarkan seramai 200 orang pelajar dalam kategori siswa SULUNG dan ini akan memenuhi kuota sasaran iaitu seramai 1,000 orang pelajar.
“Mahasiswa akan menerima manfaat pengecualian yuran iaitu semua kategori yuran, yuran berulang dan yuran tidak berulang kecuali yuran penginapan dan kos sara hidup perlu ditanggung oleh pelajar sendiri,” katanya yang memberitahu, setiap mahasiswa akan menerima bantuan berjumlah RM12,000 sepanjang tempoh pengajian.
Tambah Abdul Rahman, terdahulu, pihaknya telah menerima 1,600 permohonan untuk program itu dan telah menjalankan saringan termasuk mengadakan lawatan ke rumah 400 pemohon bagi memastikan mereka yang benar-benar layak menerima bantuan berkenaan.
Untuk rekod, seramai 1,000 pelajar mendapat Siswa SULUNG membabitkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM12 juta sejak ia diperkenalkan pada tahun 2022.-UTUSAN