BALIK PULAU : Baju T berkolar tertera logo dan tulisan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya yang tular kerana dipakai oleh seorang lelaki Bangladesh dalam satu rakaman video sejak semalam bukan pakaian untuk tugasan rasmi polis.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal hari ini.
Terdahulu katanya, rakaman video berdurasi kira-kira 19 saat mengenai lelaki itu dikesan sekitar pukul 1.30 petang semalam selepas ia tular di rangkaian media sosial khususnya Tik Tok.
“Siasatan mendapati, baju-T berkolar yang dipakai lelaki berkenaan dicetak pada 2016 untuk kegunaan aktiviti sosial seperti senaman dan gotong-royong.
“Justeru, sebarang penggunaan baju tersebut tidak ada kena mengena dengan penugasan rasmi PDRM di Barat Daya,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, kejadian itu dipercayai telah dirakam oleh seorang lelaki tempatan yang kemudian memuat naik rakaman berkenaan ke dalam laman Tik Tok.
Dalam pada itu, Kamarul Rizal memberitahu, pihaknya mengambil maklum akan isu tersebut buat masa ini.
Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung rakaman video tular terbabit.-UTUSAN