Baiki segera jalan rosak di Pelabuhan Klang - Utusan Malaysia

Baiki segera jalan rosak di Pelabuhan Klang

Jalan rosak
TANGKAP layar video TikTok milik Azmizam Zaman Huri memaparkan beliau menunjukkan permukaan jalan berlubang yang menyebabkan kesesakan jalan raya dan kemalangan maut dekat jalan menghubungkan Jambatan Selat ke Bandar Sultan Suleiman, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa membaiki segera jalan dari arah Jambatan Selat menghala ke Bandar Sultan Suleiman yang rosak dan berlubang sehingga mengakibatkan kerap berlaku kemalangan maut di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, beliau memberi tempoh seminggu kepada JKR untuk membaik pulih jalan tersebut atau tindakan mogok akan dilakukan oleh pengguna.

“Jika pihak JKR tidak menyelesaikan masalah ini saya akan letak lori-lori kontena dan melancarkan mogok di sini sehinggalah jalan rosak ini diperbaiki. Jika Datuk tidak hendak buat (baik pulih jalan rosak) baik letak jawatan. Saya bagi tempoh seminggu,” katanya menerusi akaun TikToknya, semalam.

Tambahnya, jalan tersebut merupakan laluan utama penduduk di Bandar Sultan Suleiman yang berjumlah 45,000 orang dan perlu dibaiki segera ia menyebabkan kerosakan kenderaan dan mengancam nyawa.

“Baru-baru ini berlaku kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal dan kenderaan berat akibat kegagalan JKR membaiki jalan tersebut. Kepada Datuk (Ketua Pengarah JKR, Datuk Ir. Roslan Ismail) yang dilantik Jun lalu, menteri sudah turun (meninjau lokasi) November tahun lalu, bila masalah ini hendak selesai. Datuk turunlah sendiri tengok keadaan jalan yang rosak dan berlubang ini.

“Hari ini (semalam) hari cuti (Ahad) pukul 5.40 petang, inilah masa (yang sesuai) untuk memperbaiki jalan yang rosak kerana esok hari bekerja. Siapa kontraktor yang dilantik, di mana pegawai-pegawai,” soalnya.

Katanya lagi, Pelabuhan Klang sebagai pelabuhan ke-11 tersibuk di dunia sewajarnya mempunyai infrastruktur seperti jalan raya yang terbaik dan bukan seperti keadaan sedia ada.

“Sebaliknya apa yang berlaku kerosakan jalan tersebut menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya pada waktu puncak setiap hari sejak setahun yang lalu,” ujarnya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan perasmian pecah tanah pembinaan Westports 2 memberitahu akan mengumumkan peruntukan bagi penyelenggaraan dan pelebaran jalan di Pelabuhan Klang.

Menurutnya, infrastruktur di kawasan berkenaan perlu ditingkatkan termasuk jalan yang menghubungkan pelabuhan seperti di Pulau Indah berikutan berlaku jumlah kemalangan jalan raya yang tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya