Baik pulih kawasan tanah jerlus ambil masa tiga ke enam bulan - Utusan Malaysia

Baik pulih kawasan tanah jerlus ambil masa tiga ke enam bulan

Pasukan mencari dan menyelamat menjalankan operasi di tapak tanah jerlus yang mengakibatkan seorang warga India tertimbus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini. – MINGGUAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembaikan semula tanah jerlus di Jalan Masjid India yang menyebabkan wanita warga India terjatuh ke lurang kumbahan pada 23 Ogos lalu mengambil masa tiga ke enam bulan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd. Sharif berkata, dalam tempoh tersebut orang ramai yang berada berhampiran tapak membaik pulih perlu mengikut arahan dan memberi kerjasama kepada DBKL.

“Dalam tempoh tersebut janganlah melintasi kawasan kawalan dan kawasan pembaikan untuk keselamatan semua,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengadakan perbincangan dengan DBKL mengenai butiran terperinci membabitkan kawasan tanah jerlus tersebut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizme Affendy Sulaiman dilaporkan berkata, perbincangan itu dilakukan semalam bagi DBKL memberikan butiran lanjut berkaitan kawasan-kawasan yang akan terlibat untuk kerja-kerja pembaikan.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati suasana di Masjid India di sini belum pulih sepenuhnya apabila kawasan tersebut tidak semeriah seperti sebelum kejadian.

Selain polis, kakitangan DBKL turut kelihatan di kawasan kejadian untuk melaksanakan tugas masing-masing di sekitar kawasan itu..

Dalam pada itu, peniaga barangan tekstil, Siti Aisha Salvador berkata, dalam tempoh SAR perniagaannya rugi 70 peratu kerana Jalan Masjid India ditutup dengan penghadang.

“Lokasi perniagaan saya hanya 50 meter dari lokasi kejadian tanah jerlus tersebut dan bernasib baik kedai saya tidak diarah tutup, namun apabila sepanjang Jalan Masjid India ditutup dengan penghadang serta pita dilarang masuk, perniagaan saya terjejas sebab orang tidak lalu di sini.

“Saya berasa lega apabila operasi SAR dihentikan kerana dapat merancakkan kembali perniagaan peniaga di sini. Sejak pukul 3 petang tadi , bilangan jualan naik 10 peratus daripada hari-hari sebelumnya,” katanya.

Sabtu lalu, operasi mencari Vijaya Lakshmi, 48, dihentikan atas faktor keselamatan pasukan SAR.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dilaporkan berkata, tindakan selanjutnya di lokasi kejadian tanah jerlus di Masjid India di sini akan diteruskan dengan proses pemulihan (search and recovery).

Beliau berkata, ia akan diserahkan kepada PDRM kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan pihak DBKL.

Antaranya, kata beliau, pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah yang akan dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN