BAGUS bantu pelajar B40 sambung pengajian

BAGUS bantu pelajar B40 sambung pengajian

SENARAI penerima program BAGUS selepas menerima anugerah di ibu negara baru-baru ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pelajar yang bertuah tersenarai sebagai penerima Program biasiswa Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) Award of Group’s Undergraduate Scholarship (BAGUS) menyatakan kesyukuran selepas terpilih sebagai penerima.

Mereka berpendapat peluang tersebut bukan sahaja meringankan beban kewangan bagi menampung kos pengajian sekali gus mendorong mereka belajar bersungguh-sungguh bagi mencapai cita cita membantu keluarga.

Penerima biasiswa, Alan Liyu Ker Jet, 21 yang berasal dari Tamparuli, Sabah berkata, biasiswa yang diterima membantu memenuhi impiannya untuk melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi (IPT) di luar negara.

Alan yang ditawarkan Sarjana Muda Perakaunan Dan Kewangan (Kepujian) di Universiti Liverpool berkata, peluang yang diberikan itu juga membuka jalan kepadanya untuk membantu ekonomi keluarga yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Selepas wabak Covid-19, bapa saya kehilangan sumber pendapatan jadi ia menyukarkan saya untuk meneruskan pengajian ke luar negara.

“Namun, dengan peluang yang diberikan BPMB, saya dapat melanjutkan pelajaran di Universiti Liverpool seperti yang diimpikan,” katanya.

Pada tahun ini, seramai 66 pelajar cemerlang berjaya mendapatkan biasiswa menerusi program BAGUS di bawah BPMB.

Biasiswa diberikan itu terbuka kepada semua pelajar cemerlang yang mendapat tawaran IPT tempatan dan luar negara yang boleh dimohon pada kemasukan pertama dan tahun kedua tempoh pengajian.

Dalam pada itu, Nur Anisa Shahira Syahrizal, 21 yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata, sebagai pelajar program dua Ijazah, biasiswa itu membantu dalam membiayai kos pengajiannya yang mencecah RM9,000 setiap semester.

Nur Anisa yang menyambungkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Universiti Malaysia Pahang (UMP) Al-Sultan Abdullah berkata, dengan latar belakang ibu bapa yang hanya peniaga biasa, biasiswa tersebut membantu dalam mengurangkan bebanan keluarga.

“Saya dah cuba mohon banyak program lain tapi tiada rezeki. Alhamdulillah saya dapat BAGUS semasa Yayasan UMP ada buat temu bual bersama BPMB.

“Dekat UMP, kalau kita ada sekatan macam tunggakan yuran, kami tak boleh teruskan semester seterusnya. Jadi saya sangat memerlukannya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB), Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, biasiswa tersebut bagi pengajian di peringkat Ijazah merangkumi beberapa Institut Pengajian Tinggi (IPT) tempatan dan luar negara.

Katanya, program tersebut bertujuan membantu pelajar cemerlang akademik dari golongan keluarga sederhana untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Bagi saya biasiswa ni sangat bagus terutama dalam nak membantu pelajar yang kurang berkemampuan sebab kita tidak minta dia bayar balik.

“Kalau boleh akan datang nanti, kita nak bantu dan taja lebih ramai pelajar untuk sambung ke peringkat lebih tinggi,” katanya –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN