Badan berkanun bukan tempat orang politik jana pendapatan - CUEPACS - Utusan Malaysia

Badan berkanun bukan tempat orang politik jana pendapatan – CUEPACS

ADNAN Mat (tengah) ketika sesi Coffee Break bersama Presiden CUEPACS di Dewan Bandaran Kulim. - IHSAN/ MAJLIS PERBANDARAN KULIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Kewujudan badan berkanun yang dilihat memberi pendapatan kepada penyokong sesebuah parti politik tidak seharusnya terus berlaku di negara ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, langkah itu bukan sahaja tidak membawa manfaat kepada rakyat, malah turut merugikan dana kerajaan.

Justeru, beliau memuji usaha kerajaan yang mengurangkan jumlah badan berkanun berkuat kuasa serta-merta bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara dengan penubuhan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan.

“Sudah sampai masanya kajian ataupun perkara ini boleh diambil tindakan segera sebagai satu proses transformasi bagi tujuan penjimatan wang kerajaan dan rakyat.

“Mewujudkan suatu badan berkanun untuk memberi pendapatan kepada penyokong tegar sesebuah pertubuhan politik tidak seharusnya berlaku, kena fikir sebab kebanyakan yang berlaku hari ini mewujudkan satu badan berkanun, sebahagian pengerusinya orang politik.

“Seumpama mewujudkannya untuk dijadikan tempat orang politik berada di sana, akhirnya tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada rakyat dan negara,” katanya ketika ditemui selepas sesi Coffee Break bersama Presiden CUEPACS di Dewan Bandaran Kulim, hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada reforma­si perkhidmatan awam dan badan berkanun termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Menurut Perdana Menteri, jumlah badan berkanun terlalu banyak, malah bertindih dan menjadi punca kepada keterlanjuran kewangan sehingga berlaku perbelanjaan tidak terkawal.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, pertindihan tugas itu menyebabkan sebahagian kakitangan tidak bekerja secara sepenuhnya disebabkan pembahagian tugas yang tidak sepatutnya.

Mengambil contoh penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2010, ujar beliau, CUEPACS pernah membantah terhadap cadangan menubuhkan agensi itu disebabkan fungsinya bertindih dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kemudian dibuat pelantikan baru, banyak benda telah dibuat tetapi tugas yang sama telah ada di JPJ pada ketika itu. Kita sudah beri pandangan awal namun SPAD tetap diwujudkan juga

“Tapi akhirnya SPAD dimansuhkan, begitulah situasi di agensi-agensi lain yang sebahagian skop tugas masih sama tetapi dilaksanakan oleh pelaksana yang berbeza, agensi yang lain, badan berkanun yang lain maka akhirnya merugikan kerajaan dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya