Azraai Khor terima anugerah khas Maulidur Rasul Kedah - Utusan Malaysia

Azraai Khor terima anugerah khas Maulidur Rasul Kedah

TENGKU Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin menyampaikan Anugerah Khas Maulidur Rasul kepada Allahyarham Mohd. Azraai Khor Abdullah yang diterima balunya, Rohani Ibrahim pada Majlis Sambutan Peringkat Negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Legenda bola sepak Kedah, Allahyarham Mohd. Azraai Khor Abdullah menerima anugerah khas sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Kedah 2024, hari ini.

Balu arwah, Rohani Ibrahim, 62, menerima anugerah itu untuk suaminya yang disampaikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang berangkat mewakili Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Menurut Rohani, anugerah tersebut sedikit sebanyak mengubati kesedihan keluarganya dengan pemergian Allahyarham Azraai Khor pada Februari lepas.

“Perasaan amat bersyukur kerana hari ini sempena Maulidur Rasul arwah terima anugerah khas ini. Syukur kerana saya sendiri tidak sangka. Terima kasih kepada Menteri Besar yang mencadangkan kepada Tuanku Sultan Kedah.

“Setelah pemergian arwah baru orang ingat jasa dia. Cuma arwah tak sempat nak tengok kerana selepas dia pergi baru dapat anugerah, apa pun saya ucap terima kasih kepada semua,” katanya ketika ditemui selepas sambutan itu, di sini hari ini.

Rohani yang tidak dapat menahan sebak selepas menerima anugerah itu berkata, walaupun sudah tiada jasa, arwah suaminya masih dikenang terutama dalam kalangan penyokong bola sepak.

“Sampai sekarang pun ada lagi pemain dan penyokong yang masih menziarah kubur arwah. Alhamdulillah ramai yang masih kenang. Ada peminat yang datang dari Terengganu untuk ziarah kubur arwah, baru-baru ini.

“Mana-mana saya pergi orang masih memperkatakan tentang arwah, jasa dan kebaikannya ketika hidup. Keluarga saya pun masih bersedih namun harus kuat menempuh hidup tanpa dia,” katanya.

Allahyarham Mohd. Azraai Khor, 72, yang bergelar jurulatih legenda Kedah dan bekas pemain kebangsaan era 1970-an meninggal dunia akibat strok pada 8 Februari lepas.

Beliau merupakan nama yang terpahat dalam lipatan sejarah bola sepak Kedah setelah kejayaannya menyapu bersih enam piala dalam tempoh dua tahun dengan memimpin Kedah merangkul kejayaan double treble musim 2006/2007 serta 2007/2008.

Pemilik nama sebenar Khor Sek Leng itu memeluk Islam pada 2001 dan mula meminati sukan bola sepak ketika berusia 17 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN