Azaharudin tekad perangi jenayah di Kuala Selangor

Azaharudin tekad perangi jenayah di Kuala Selangor

MOHD. AMBIA (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Azaharudin (kanan) sambil disaksikan Sasikala di IPD Kuala Selangor, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pengalaman lebih 20 tahun dalam pelbagai siasatan kes menjadi bekalan bagi Superintenden Azaharudin Tajudin untuk memerangi jenayah habis-habisan di daerah ini.

Ketua Polis Daerah yang baharu itu berkata, beliau pernah menjadi pegawai penyiasat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kubu Bharu, Petaling Jaya, Klang dan pegawai turus di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Jelas bekas Ketua Pusat Pengajian Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Kubu Bharu itu, misi utamanya memfokuskan usaha dalam memerangi kegiatan jenayah menerusi kerjasama erat masyarakat setempat.

“Peningkatan kes sebelum ini kebiasaannya melibatkan jenayah harta benda terutama kecurian motosikal. 

“Justeru, berbekalkan ilmu yang ada, saya akan mengkaji trend jenayah di daerah ini dan merangka perancangan strategik bagi membanterasnya secara habis-habisan,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Azaharudin, 52, mengambil alih jawatan itu berkuat kuasa hari ini menggantikan Deputi Superintenden Mohd. Ambia Nordin yang memangku jawatan itu pada 5 Julai lalu.

Majlis serah tugas berlangsung di IPD Kuala Selangor di sini disaksikan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi.

Tambah beliau, pihaknya komited untuk terus memberi perkhidmatan terbaik dan menasihatkan masyarakat supaya tidak takut melaporkan sebarang kegiatan jenayah kepada polis bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Sasikala ketika berucap berkata, beliau yakin Azaharudin mampu memikul tanggungjawab meneruskan legasi kecemerlangan di IPD Kuala Selangor.

“Beliau mempunyai pengalaman amat luas di Selangor dan sudah berkhidmat hampir 30 tahun bersama PDRM terutama dalam siasatan kes jenayah.

“Namun, seseorang ketua bukan hanya terbatas kepada memberi arahan tetapi perlu mempamerkan sifat berintegriti, progresif dan proaktif dalam memerangi jenayah dan menjaga keselamatan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN