Aurad Muhammadiyah legasi Al-Arqam - Mufti Pulau Pinang  - Utusan Malaysia

Aurad Muhammadiyah legasi Al-Arqam – Mufti Pulau Pinang 

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr Mohd Sukki Othman ketika ditemui pemberita pada perasmian Seminar Fikrah Madani di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini. UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  “Jika masih mengamalkan Aurad Muhammadiyah, ia bermakna legasi Arqam masih diteruskan.”

Itu reaksi Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Dr. Mohd Sukki Othman susulan penemuan barangan disyaki bertentangan Islam dan berkaitan Aurad Muhammadiyah yang mana tarekat ini dimulakan Al-Arqam dan difatwakan sesat pada 1994. 

Beliau berkata, serbuan yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah lebih kepada tindakan undang-undang terutama dalam sudut kemanusiaan, tetapi di pihak jabatan agama ia akan melihat dari sudut ajaran agama.

“Kita akan melihat dalam konteks bukti-bukti yang terdapat dan wujud. Apabila mereka didapati mengamalkan Aurad Muhammadiyah, itu maknanya dia meneruskan legasi Arqam.

“Sebagaimana diketahui Arqam sudah difatwakan dan diwartakan begitu juga selepas Arqam iaitu Rufaqa. Alasan Rufaqa diharamkan juga adalah kerana menghidupkan amalan Arqam itu.

“Jadi, setelah bukti-bukti yang jelas, sekiranya mereka benar-benar menghidupkan semula amalan tersebut, sudah tentu tindakan yang sama akan diambil sebagaimana Arqam dan Rufaqa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Seminar Fikrah Madani: Sheikh Dr. Yusof Al-Qardawi di Dewan Serbaguna Masjid Wilayah Persekutuan, hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, siasatan PDRM setakat ini mendapati Global Ikhwan and Services Berhad Holdings (GISBH) dipercayai masih mengamalkan Aurad Muhammadiyah yang diharamkan pada 1994. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, ia berikutan penemuan buku-buku dan risalah berkaitan tarekat tersebut melalui serbuan dijalankan di premis GISBH dalam operasi fasa keempat pada 21 September lalu. 

Mohd Sukki  berkata, Pulau Pinang akan membuat mesyuarat selepas fatwa kebangsaan dan Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI)  dalam minggu ini.

“Ini adalah isu nasional, jadi ia akan bermula pada peringkat nasional. Maka, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membuat keputusan, selepas itu turun kepada negeri-negeri. 

“Kita kena adil, setelah bukti-bukti yang dijumpai itu benar,  barulah kita akan ambil tindakan dari sudut hukum,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya