Audrey Hepburn pernah bergelar kekasih John F. Kennedy - Utusan Malaysia

Audrey Hepburn pernah bergelar kekasih John F. Kennedy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“DIA tersendiri, tidak ramai yang sepertinya.” Kenyataan itu pernah terpacul dari mulut jurugambar tersohor Hollywood, Leo Fuchs mengenai bintang jelita, mendiang Audrey Hepburn. 

Seperti Fuchs, ramai yang berpandangan Hepburn antara wanita tercantik yang pernah hidup di muka bumi ini. 

Malah, kejelitaannya terus menjadi sebutan, gambar-gambarnya bertebaran di Internet, meskipun pelakon ini telah lama meninggal dunia, iaitu sekitar lebih tiga dekad lalu. 

Meskipun Audrey diangkat antara bintang legenda Hollywood yang paling terkenal di seluruh dunia, masih ramai yang tidak mengetahui mengenai kisah kehidupannya. Berikut kami kongsikan empat fakta mengenai Audrey Hepburn.

HUBUNGAN SULIT

Audrey Hepburn pernah menjalinkan hubungan sulit dengan pelakon, William Holden ketika mereka sama-sama terbabit dalam pembikinan filem Sabrina. 

Holden yang ketika itu sudah pun bergelar suami orang terpukau dengan kecantikan dimiliki Hepburn. 

Pelakon itu tidak bertepuk sebelah tangan, cintanya disambut Hepburn yang turut menyimpan perasaan terhadapnya. 

Hubungan sulit mereka bagaimanapun dihidu isterinya, Ardi, yang kemudian mendesak agar suaminya berpisah dengan Hepburn dan mengancam untuk menuntut cerai sekiranya Holden kekal berhubung dengan pelakon tersebut. 

Hepburn akhirnya meninggalkan Holden. Perpisahan mereka bukan disebabkan desakan Ardi, sebaliknya kerana lelaki itu tidak mampu memberikannya zuriat sekiranya mereka berkahwin di kemudian hari. 

Hubungan sulit mereka terlerai dalam kedua pihak sedih dan kecewa dengan keputusan tersebut.

MEMBANTU KUMPULAN PEMBERONTAK

Audrey, yang dibesarkan dalam keluarga bercerai berai, berpindah bersama ibunya ke Belanda ketika meletusnya perang dunia kedua. 

Penghijrahan mereka adalah untuk menyelamatkan diri daripada ancaman tentera Nazi. Nasib tidak menyebelahi mereka apabila tentera Nazi berjaya menceroboh dan menawan Belanda sekitar tahun 1940. 

Difahamkan bahawa Hepburn adalah antara jutaan mangsa kekejaman Nazi yang hampir mati kebuluran apabila tentera itu menyekat bekalan makanan yang masuk ke negara itu. 

Hepburn ketika itu pernah membantu kumpulan pemberontak yang memerangi Nazi. 

Dalam satu temu bual, pelakon itu pernah menceritakan pengalamannya membuat persembahan tarian balet di hadapan penonton yang takut untuk bertepuk tangan kerana khuatir kehadiran mereka dihidu tentera Nazi.

JOHN F. KENNEDY

Audrey Hepburn dan Marilyn Monroe berkongsi pengalaman yang sama, iaitu pernah menjalinkan hubungan dengan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), John F. Kennedy. 

Hepburn menjalinkan hubungan dengan Kennedy ketika beliau masih bergelar senator dan belum mendirikan rumah tangga. 

Mereka tidak berskandal dan pada masa sama tidak juga serius dalam bercinta. Ketika Kennedy bergelar Presiden AS, beliau dikhabarkan menjalinkan hubungan sulit dengan pelakon Marilyn Monroe. 

Khabar angin tersebut semakin kencang bertiup apabila Monroe menyanyikan lagu hari jadi sempena ulang tahun Kennedy yang ke 42 tahun. 

Setahun kemudiannya, Hepburn pula diberi penghormatan untuk menyanyikan lagu yang sama untuk Presiden AS ke-35 itu.

TULIP AUDREY HEPBURN

Audrey Hepburn pernah menceritakan terpaksa memakan kelopak bunga Tulip demi survival ketika meletusnya perang dunia kedua. 

Dan disebabkan itu, baka tulip baharu yang ditemukan pada tahun 1990 di Belanda telah dinamakan sempena nama pelakon tersebut. 

Menurut Badan Informasi Flora Belanda, bunga Tulip berwarna putih itu dinamakan sempena nama pelakon tersebut sebagai penghargaan atas sumbangannya sebagai pelakon dan kerja-kerja amal bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia, UNICEF.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya