SHAH ALAM: Penyanyi, Datuk Hattan kini kembali ke dunia seni selepas mengumumkan persaraannya pada Jun lalu disebabkan pesanan arwah adiknya.
Kata Hattan atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabudin, 60, beliau pada asalnya berhasrat untuk bersara namun teringat teguran arwah sehari sebelum dia menghembuskan nafas terakhir yang menasihati untuk hargai bakat yang ada.
“Ketika itu kami berkumpul di kampung, arwah ada bertanya benarkah saya mahu berhenti menyanyi. Sebelum ini dia tidak pernah cakap dengan saya begitu, tetapi dua hari sebelum dia meninggal dia banyak ‘membebel’.
“Bila dia meninggal, adik-adik lain ingatkan saya apa yang arwah cakap. Jadi saya teruskan karier, sebab saya dengar apa dia cakap.
“Sekurang-kurangnya bila saya terus menyanyi, saya boleh bantu sara anak-anak arwah,” katanya.
Datuk Hattan berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Majlis Makan Malam Amal TMESA, Night Of Love & Compassion, baru-baru ini.
Selain itu, penyanyi Memburu Rindu itu turut berkongsi bahawa pemergian arwah adik turut membuatkan dia bertekad untuk berhenti merokok dan amalkan gaya hidup sihat.
“Sebelum ini saya merokok tetapi arwah lebih kuat merokok. Jadi selepas dia meninggal, saya terus berhenti merokok dan amalkan gaya hidup yang lebih sihat.
“Ini usaha saya untuk menjaga kesihatan tetapi kalau Allah sudah tentukan nyawa kita di ambil, siapa kita untuk menghalang.
“Alhamdulillah saya rasa kesihatan saya lebih baik selepas berhenti merokok dan tidak ada kesan sampingan seperti yang diperkatakan buat mereka yang mahu berhenti merokok,” kongsinya.
Perkembangan terkini, Datuk Hattan bakal mengadakan konsert bersama beberapa penyanyi yang bakal diumumkan tidak lama lagi.-UTUSAN