PETALING JAYA: Pelakon, Arja Lee berhasrat mencari formula khusus untuk melindungi budaya dan warisan negara serantau.
Arja yang juga pengerusi badan bukan kerajaan (NGO) Society of Creative Symphony telah menghimpunkan wakil delegasi dari lapan negara iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Cambodia, Laos, Myanmar, serta China untuk berdiskusi cara terbaik memelihara keunikan budaya.
“Menerusi persidangan ASEAN-China Heritage DNA 2024 tempoh hari, kami telah berjaya memperolehi sebuah dapatan formula dan juga rangka khusus dalam usaha melindungi warisan budaya serantau.
“Buah fikir ini akan dibawa kepada pembuat dasar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Bukan itu sahaja, program ini secara tidak langsung sebuah usaha untuk kita sama-sama mengiktiraf keunikan budaya dan mencari jalinan persamaan antara negara untuk dikongsikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Malah menurutnya lagi, usaha ini penting demi memastikan generasi baharu di negara Asia Tenggara dan China faham mengenai nilai dan tradisi yang perlu dipelihara.
“Program sebegini amatlah penting dalam usaha melestarikan kesenian agung negara agar diingati di setiap generasi. Kita tidak sanggup lihat kesenian kita hilang ditelan zaman.
“Syukur kerana kita pun telah mendapat perhatian pihak antarabangsa melalui Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO). Sekarang kita akan memperkuat perjuangan bersama negara Asia Tenggara dan kuasa besar China,” tambahnya.
Acara ASEAN-China Heritage Dimensions of National Arts (DNA) yang berlangsung di Kangar, Perlis itu turut dihadiri Tuanku Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail .
Para delegasi turut dibawa kelas-kelas pakar, bengkel, persembahan budaya, dan lawatan kebudayaan ke tempat-tempat ikonik di Perlis seperti Muzium Kota Kayang, Batik Inderawasih, dan Ladang Harumanis Wanpa.-UTUSAN