KUALA LUMPUR: Penyanyi sensasi Bollywood, Arijit Singh mengumumkan akan kembali ke Malaysia selepas 10 tahun untuk mengadakan konsert pada 16 November ini di Axiata Arena.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group, Rohit Rampal berkata, konsert itu merupakan kali ketiga Arijit Singh datang ke Malaysia setelah konsert terakhirnya pada 2014 lalu.
“Ramai peminat di Malaysia yang menanti kehadiran beliau di sini mengikut tinjauan yang dilakukan di media sosial sebelum ini.
“Konsert ini bakal menjadi konsert Bollywood terbesar di Malaysia buat tahun ini. Konsert ini juga akan menampilkan lagu-lagu klasik dan popular daripada Arijit Singh.
“Kami ingin pastikan semua rakyat Malaysia dapat menikmati konsert ini dari muzik hingga ke produksi pementasan,” katanya ketika ditemui di Sidang Media Konsert Arijit Singh Live in Malaysia di ibu negara.
Selain itu, Jelas Robit, pihaknya sudah memberikan harga tiket yang paling terbaik berbanding konsert artis itu di negara lain.
“Jumlah tempat duduk juga tidak akan ditambah kerana aturan pentas sudah ditetapkan dan tiada lagi ruang untuk diletakkan,” ujarnya lagi.
Peminat boleh untuk mendapatkan pra-jualan tiket bermula pada 2 September, pada jam 12.00 tengahari dan jualan tiket umum akan dibuka pada keesokkan harinya pada waktu yang sama.
Harga tiket bermula dari RM298 hingga RM1,188 dan boleh didapati di laman web www.hitmanlive.com.-UTUSAN