PETALING JAYA: Pelakon meningkat naik , Arfie Shah memaklumkan tidak kisah mengubah fizikal, termasuk menambah berat badan untuk menjayakan sesebuah watak.
Kata pemilik nama sebenar Adwafri Shah ini, sebagai pelakon, dia harus bersedia untuk memenuhi keperluan watak meskipun terpaksa menggemukkan badannya.
“Demi watak, saya komited melakukan apa sahaja termasuklah tambah berat badan.
“Saya mahu jadi pelakon yang bagus, jadi kenalah sedia untuk penuhi tuntutan watak.
“Selepas ini saya terlibat dengan sebuah naskhah yang memerlukan saya besarkan badan. Saya diberi tempoh dua bulan untuk itu,” katanya.
Arfie berkata demikian pada majlis pembukaan Elitez MMA Gym di Mont Kiara, di sini.
Arfie sebelum ini mencipta nama menerusi lakonannya dalam drama X-Change Radius One.
Sementara itu, pelakon berusia 31 tahun ini memaklumkan perlu sentiasa bersenam di gimnasium untuk mengekalkan fizikalnya sekarang.
“Berat saya mudah susut, lebih-lebih kalau saya tidak bersenam. Dan kalau tidak dijaga, berat juga mudah naik.
“Memang penat jaga badan. Tambah pula kena konsisten. Tapi mahu atau tidak, sebagai pelakon, memang perlu jaga fizikal.
“Ada masa, saya terpaksa tinggalkan amalan bersenam di gimnasium kerana sibuk penggambaran.
“Apa pun saya akan guna cara lain untuk bersenam di set penggambaran. Antaranya, buat latihan tekan tubi sebanyak mungkin,” kongsinya.