Melewati usia lebih dua dekad sebagai penghibur menerusi nama pentas yang dicipta berawal daripada Haslia kepada Alyah, insan ini lebih daripada cukup saya kelaskan sebagai penyanyi gred A.
Julat vokalnya yang tajam membuatkan saya terus terpaku mendengar setiap alunannya. Vokalnya kekal di garisan penempatan dan itu yang menjadikan bunyinya kedengaran gemersik seakan buluh perindu.
Alyah terkenal sebagai pempengaruh lagu-lagu berkonsepkan dambaan cinta manusia, sedih, putus asa dan kecurangan yang terbukti menerusi rangkaian hit Sesal Separuh Nyawa, Syurga, Engkau Milikku, Mengapa Harus Aku, Jutaan Purnama, Meluruh dan Cintaiku.
Namun, kini dia sudah mengubah arah bermuziknya. Walaupun mengekalkan alur balada, namun, mesejnya berlainan dengan menumpukan kepada aspek rohani dan ketuhanan seperti Hakikat Jiwa (2020), Thank You Allah (2021), Cinta Sahabiyah (2022) dan Eilayka (Kepada-Mu) (2023).
Mengimbas kembara seni Alyah 20 tahun lalu, katalog muziknya sebenarnya tidak benar-benar diraikan menerusi dua album pertama, Destinasi (2001) dan Permata (2003), walaupun ada beberapa lagu masih ada ruang untuk diniagakan, sekali gus bersaing dalam pasaran pop dan balada ketika itu.
Meskipun diameter muzik Alyah dianggap kecil berbanding penyanyi sezamannya, namun, saya tidak menafikan diskografinya terus berkembang selepas album ketiga, Alyah (2008) dengan hit Tak Mungkin Kerna Sayang dan Ku Pinjam Satu Bintang di bawah label Wake The Baby Records.
Gelombang Alyah bawa terus membadai dengan naskhah single paling agung, Kisah Hati (2011) yang dimuatkan di dalam album mini berjudul sama.
Pun begitu, keputusannya berhenti merakam lagu cinta, membuat saya berfikir yang di tahap ini, Alyah nampaknya sudah bersedia dan tidak mahu bersaing lagi dengan rangkaian pop di peringkat nasional yang kebanyakan berkonsepkan seperti itu.
Empat lagu yang dirangka sebagai hala tuju baharu muzik Alyah sebenarnya ada kekuatan tersendiri. Tetapi, dia harus menerima hakikat ia bukan penanda aras muzik untuk nama besar seperti Alyah, sebaliknya hanya pengisi ruang kosong portfolionya yang belum diterokai selama ini.
Memang benar kesemuanya berperanan dalam mendidik jiwa dan peribadi, tetapi, ketika kos yang dibelanja terlalu besar, namun ia tidak akan ke mana-mana jika matlamatnya mahu berniaga muzik dengan konsep sebegitu.
Kecuali Thank You Allah, yang menjadi satu-satunya kejayaan muzik baharu Alyah selepas mengubah haluan mesejnya.
Cinta Sahabiyah, walaupun melodinya sarat dengan elemen balada dan saya pernah meletakkan harapan lagu ini bakal meletus di pasaran, tetapi, lagu ciptaan Omar K. itu tidak berpeluang merebut Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL38) selepas gagal tersenarai dalam pusingan akhir Muzik-Muzik.
Jumlah pendengar dan tontonan lagu ini di Youtube dan Spotify juga masih tersekat di bawah nilai 200,000 dalam tempoh setahun yang sudah cukup untuk menilai nasib Cinta Sahabiyah dalam pasaran muzik Malaysia yang kompetitif.
Satu lagi kekecewaan saya apabila Hakikat Jiwa ciptaan Ikhwan Fatanna dan Omar K., walaupun ia hanya diguna sebagai lagu runut bunyi filem, namun tidak berhasil mengangkat Alyah sebagai penyanyi dalam konsep dan empayar yang dia sendiri bina. Sedangkan, komposisi, instrumen muzik dan liriknya bukan biasa-biasa.
Bukan saya menidakkan kewajiban untuk kita kembali berserah kepada Tuhan, namun, saya lebih gemar jika Alyah kembali ke landasan muzik pop yang sebenar jika dia mahu mengkomersialkan lagu-lagu berharganya. Supaya dia tidak kecewa lagi seperti Cinta Sahabiyah.
Sebab itu, sejak Cintaiku (2020) menjadi pengakhir kepada hala tuju sebenar muzik Alyah selama lebih dua dekad ini, saya tidak lagi mengharapkan ada sesuatu yang baharu untuk Alyah tinggalkan kepada pendengarnya.