Apot, sepanjang hayat sayangkan negara - Utusan Malaysia

Apot, sepanjang hayat sayangkan negara

ISTERI mendiang Apot Saad, Krig Sudin di sisi keranda suaminya di rumah mereka di Kampung Batu Berangkai di Kampar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Isteri dan anak kepada mendiang bekas anggota Senoi Praaq, Sarjan Mejar (Bersara) Apot Saad yang meninggal dunia hari ini kerana serangan kuman di bahagian jantung menyifatkannya sebagai seorang yang penuh integriti dan sanggup mengorbankan jiwa dan raganya demi negara.

Isteri mendiang, Krig Sudin, 77, berkata, suaminya sepanjang kehidupannya sebagai seorang yang penyayang terhadap keluarganya dan negara.

“Apot sepanjang hayatnya sayangkan keluarganya dan negaranya,” katanya ringkas ketika ditemui di rumah anaknya di Kampung Batu Berangkai di sini hari ini.

Mendiang Apot pernah menerima Pingat Gagah Berani atas jasa dan baktinya kepada negara menghembuskan nafasnya yang terakhir di Hospital Kampar di sini kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi kerana jangkitan kuman di bahagian jantung dan sesak nafas.

Apot dimasukkan ke hospital itu sejak 1 September lalu kerana uzur selain serangan strok.

Dalam pada itu, anaknya, Sarjan Mulyadi Apot, 42, berkata, beliau agak terkilan kerana tidak dapat menemani mendiang sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.

“Saya baru pulang kerana bercuti dari tempat kerja Kem Pengkalan Hulu dan memang berhasrat menjaganya di wad hospital.

“Namun, emak meminta saya menangguhkannya terlebih dahulu kerana meminta saya berehat dahulu setelah perjalanan jauh. Tidak lama kemudian saya dapat panggilan telefon oleh abang yang memaklumkan ayah sudah tiada,” katanya.

Katanya lagi, dia menerimanya sebagai ketentuan takdir dan tidak akan sesekali melupakan pesanan mendiang.

“Ayah (mendiang Apot) selalu berpesan jalankan tanggungjawab sebagai anggota polis dengan penuh integriti dan jangan melakukan perkara yang melanggar undang-undang,” katanya.

Mendiang Apot akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Asli Kampung Batu Berangkai Kampar kira-kira pukul 4 petang ini.

Mendiang Apot merupakan penerima Pingat Gagah Berani (PGB) dalam kalangan Orang Asli yang banyak berjasa kepada negara dalam operasi menentang pengganas komunis termasuk menembak mati lima anggota komunis.

Beliau terkenal sebagai tracker (penjejak) Orang Asli serta digeruni oleh komunis kerana kebolehannya menjejak serta menghidu setiap pergerakan musuh di dalam hutan belantara, menyertai pasukan Senoi Praaq pada 1968 sebelum diserapkan ke dalam 69 Komando (VAT 69). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN