SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperkenalkan aplikasi PKNS Loyalty+ membolehkan pelanggan membuat kutipan mata dan tebus mata ganjaran menerusi pembelian produk dan perkhidmatannya.
Kemudahan tersebut merupakan tanda penghargaan PKNS kepada pelanggan mereka, dalam masa sama menarik minat pelanggan baharu untuk menggunakan produk dan perkhidmatan ditawarkan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, penggunaan aplikasi tersebut mentransformasikan sepenuhnya pengalaman pelanggan dengan mendigitalisasikan sistem secara menyeluruh.
“Kami sukacitanya memperkenalkan aplikasi mudah alih ini sebagai hadiah istimewa. Melalui aplikasi itu, pelanggan boleh mengumpul mata ganjaran setiap kali membuat pembelian rumah, shoplot, menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Kumpulan PKNS serta produk kesihatan di Selcare, membeli-belah di Bazar Lokal di SACC Mall, menyertai public event PKNS dan aktiviti di dalam aplikasi seperti daily-check in & refer to friends.
“Mata ganjaran yang dikumpul boleh ditebus dengan pelbagai ganjaran menarik, ia sebagai satu cara kami mengucapkan terima kasih atas kesetiaan anda bersama kami sepanjang perjalanan bersama PKNS,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran aplikasi PKNS Loyalty+ sempena Festival SA Sentral di sini.
Beliau menambah, menerusi aplikasi itu pengunjung boleh melihat jadual aktiviti sepanjang tiga hari festival yang bermula pada Jumaat lalu, selain mengetahui pelbagai program menarik PKNS pada masa akan datang.
Lebih istimewa lagi, 1,300 pengunjung terawal yang memuat turun aplikasi ini akan berpeluang menerima e-voucher berjumlah RM10, semuanya melalui aplikasi yang mana ia boleh digunakan untuk pembelian semasa festival berlangsung.
Pembangunan aplikasi itu merupakan satu daripada inisiatif PKNS untuk mewujudkan Lifestyle Community melalui pangkalan data pelanggan yang boleh digunakan bagi tujuan komunikasi dan penyampaian informasi secara terus kepada pelanggan, sekali gus menyokong strategi pemasaran serta promosi dengan lebih berkesan.
Dengan adanya pangkalan data itu, PKNS dapat mengenal pasti keperluan pelanggan dengan lebih tepat dan menyediakan tawaran yang lebih relevan serta personal.
Sebagai permulaan, pembeli rumah PKNS bagi projek tahun 2020 sehingga kini secara automatik akan didaftarkan sebagai ahli PKNS Loyalty+. Untuk mendapatkan keahlian, anda perlu mengajak dua orang lain untuk sama-sama menjadi ahli.
Layari laman sesawang PKNS di www.pkns.gov.my untuk mendapatkan info lebih lanjut mengenai projek-projek hartanah PKNS.
SA Sentral nadi Bandar Raya Shah Alam
SA Sentral bakal menjadi nama baharu yang akan tersemat dalam hati warga Shah Alam terutama kepada belia atau generasi muda apabila bandar raya itu melalui proses rejuvenasi bermula pada pelancarannya, Jumaat lalu.
Ia merupakan pembangunan semula pusat bandar yang usianya sudah pun menjangkau separuh abad dan memerlukan pembaharuan bagi memberi nilai tambah kepada aktiviti komersial, pelancongan, budaya dan gaya hidup.
Antara elemen penting dalam pembangunan tersebut termasuklah keterhubungan antara bangunan-bangunan utama di Bandar Raya Shah Alam yang akan bergelar SA Sentral seperti Plaza Alam Sentral, Plaza Perangsang, Pusat Konvensyen Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS. Pembangunan ini adalah pembangunan bercampur berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit atau Transit Oriented Development (TOD), di mana semua bangunan akan dihubungkan antara satu sama lain.
Malah, ketersambungan itu turut dijana dengan kemudahan Aliran Transit Ringan (LRT) 3 yang dijangka siap pada suku ketiga 2025 melalui Stesen Dato’ Menteri di pusat bandar Shah Alam.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, SA Sentral dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM3 bilion dilaksanakan melalui kerjasama antara PKNS dengan rakan-rakan strategik melalui memorandum persefahaman (MOU) MBSA, Amverton Prop Sdn. Bhd., TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC), KRU Entertainment Sdn. Bhd. dan Ikano Handel Sdn. Bhd. (IKEA).
“Kita tengok sudah ada lima rakan strategik, sebahagiannya adalah syarikat swasta dan satu agensi. Seperti KRU, Amverton Prop dan lain-lain selepas MBSA.
“Saya alu-alukan kehadiran syarikat-syarikat (rakan strategik) kerana ia akan dapat membangunkan bersama-sama SA Sentral dan mengubah kepada sebuah kota yang lebih vibrant, menarik dan betul-betul dapat didiami oleh semua anak muda, pesara dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran SA Sentral di Galeria SA Sentral, Jumaat lalu.
SA Sentral akan memberi sumbangan yang signifikan kepada ekonomi negeri melalui peluang pekerjaan baharu, tarikan pelaburan dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Pembangunan ikonik daripada PKNS itu bertujuan untuk mentakrifkan semula Shah Alam, ibu negeri Selangor sebagai destinasi setaraf dengan Kuala Lumpur dan kawasan pusat perniagaan lain, sekali gus meningkatkan daya tarikannya kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Jelas Amirudin, menerusi pembangunan semula pusat bandar ikonik itu, pengangkutan awam dan keterhubungan dengan kawasan-kawasan membangun yang lain adalah elemen penting dan ia turut menjadi sebahagian daripada pembangunan Lembah Klang Raya (Greater Klang Valley).
“Transit Bas Rapid (BRT) akan jadi salah satu elemen penting di sana dan juga keperluan seperti bas awam dan sebagainya akan dipertingkatkan sebagaimana dipanggil first mile dan last mile,” jelasnya.
Malah, beliau memaklumkan SA Sentral juga dihubungkan dengan bandar-bandar utama seperti Klang, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dalam pembangunan Lembah Klang Raya.
“Ia tidak hanya tertumpu di satu kawasan, kita akan tertumpu juga di Petaling Jaya, Subang. Subang sudah pasti sekarang sedang membangun dan dianggap sebagai paling muda antara ketiga-tiga bandar raya dan Klang.
“Falsafah pembangunan yang saya terapkan, bukan hanya menumpu dekat sesuatu kawasan sebaliknya melebarkan pembangunan di semua kawasan dengan keunikan setiap tempat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan SA Sentral berpotensi menjadi pusat kecerdasan buatan (AI) apabila pembangunan semula kawasan itu dimasukkan ciri-ciri teknologi tersebut sesuai dengan perkembangan terkini dan keperluan masa hadapan.
“Kita mengakui akan kemasukan NVIDIA dan banyak elemen lain, mereka bukan hanya datang sini sebagai pengilang dan sebagainya, jadi kemudahan itu (AI) harus digunakan di bandar atau di kawasan pembangunan baharu.
“Sudah pasti pusat AI akan menjadi kunci untuk menghubungkan elemen-elemen (dalam SA Sentral), beberapa unit kita seperti Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) dan Perbadanan Ekonomi Digital dan Teknologi Maklumat Selangor (SIDEC) sebenarnya sedang bekerja keras untuk menubuhkan pusat AI,” ujarnya.
Justeru, MBSA sebagai agensi kerajaan diyakini berkeupayaan membantu pembangunan SA Sentral melalui perancangan bandar dalam disiplin pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, SA Sentral akan dijadikan sebagai nadi kepada bandar raya itu selain memangkin transformasi bandar yang pembangunannya membentuk komuniti dengan menemukan perniagaan, budaya serta gaya hidup.
“Bandaraya Shah Alam sudah lama kekurangan daya tarikan yang memikat untuk generasi muda. Dengan SA Sentral, PKNS berusaha mengisi jurang ini dengan membangunkan semula Bandaraya Shah Alam.
“Agar sesuai dengan keperluan serta kehendak trend pasaran semasa dan menjadikannya destinasi pilihan bagi golongan profesional muda, keluarga dan perniagaan,” katanya. – UTUSAN