GOMBAK: Pengarah, Syamsul Yusof telah mengemukakan beberapa tuntutan terhadap bekas isterinya, Ira Kazar.
Peguam mewakili Ira, Mohammad Fadhil Abdul Razak, berkata pihaknya menolak tuntutan tersebut kerana ia merupakan pemberian Syamsul kepada anak guamnya sewaktu mereka masih bergelar suami isteri.
“Pihak plaintif ada menuntut beberapa perkara. Tetapi, kami tidak bersetuju memandangkan ia adalah hadiah untuk Ira ketika mereka masih bergelar suami isteri.
“Kami bukannya sewenang-wenangnya menolak tuntutan itu. Dari segi hukum syarak juga sudah digariskan,” katanya ketika ditemui di mahkamah di sini, semalam.
Tambah Fadhil, pihak Ira telah menyatakan beberapa cadangan bagi menyelesaikan hal itu selepas surat tuntutan berkenaan dikemukakan Syamsul.
Katanya, perkara itu bagaimanapun masih belum diputuskan kedua pihak.
“Kami ada beri beberapa cadangan agar perkara itu diselesaikan secara baik di luar mahkamah.
“Buat masa ini, kami tidak mahu mendedahkan perkara yang dituntut bagi menghormati proses perbincangan,” jelasnya.
Sementara itu, Ira atau nama sebenarnya sebenarnya, Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, enggan mengulas lanjut bagi mengelakkan salah faham.
“Saya tidak mahu komen. Kita hadap sahaja. Saya takut nanti saya cakap, orang akan salah tafsir,” katanya.
Semalam, mahkamah memerintahkan Syamsul atau nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, membayar kos kehadiran ke mahkamah sebanyak RM200 kepada Ira.
Keputusan itu dibuat Hakim, Maizatul Aliza Chee Din pada prosiding yang berlangsung pada pukul 3 petang.
5 September lalu, Syamsul dan Ira sah bercerai talak satu, di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor.
Bekas pasangan suami isteri itu sebelum ini berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand. – UTUSAN