BUKAN Cik Bunga saja, kita juga percaya beribu-ribu orang lagi tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi terhadap rumah tangga pasangan pelakon, Fazura dan Fattah Amin ini?
Sejak desas-desus mengenai keretakan rumah tangga mereka bertebaran di segala platform media massa, ramai pula pakar peramal dan ahli nujum mendakwa Fazura dan Fattah sudah ‘confirm’ berpisah.
Masa Cik Bunga balik kampung baru baru ini pun kalangan orang kampung sibuk bertanya betulkah Fazura sudah bercerai dengan Fattah? Eh, kita pula yang ditanyakan walhal, usahkan keluarga, kita ini pun bukan jiran sebelah rumah Fazura sampai tahu dia sah bercerai.
Maaf sangat. Bab ini, Cik Bunga memang tidak tahu dan tak mahu salah bual. Kita tahu ramai sayangkan Fazura dan tentunya mahu dia hidup bahagia bersama keluarganya.
Tetapi kita semua pun tidak tahu apa sebenarnya yang dilalui oleh Fazura dan Fattah.
Hendak sebelahkan mana satu pun tidak boleh sebab kita semua tidak tahu gosip-gosip belakang tabir yang menerjang hidup mereka kebelakangan ini betul atau tidak.
Gosip mengenai Fattah ada skandal lainlah, Fazura ini terlalu dominanlah, Fazura itulah inilah, macam-macam yang keluar.
Namun tiada satu pun yang dijawab oleh mereka. Lebih baik kita beri ruang buat mereka berdua ini betulkan apa yang mungkin kurang atau perlu diperbaiki.
Kita semua pun tahu, mana ada rumah tangga yang tidak pernah dilanda badai. Cantik, tampan, kaya, itu semua belum menjamin rumah tangga akan bahagia.
Kadang-kadang, yang kita tengok lebih atau sempurna itulah yang sebenarnya paling rapuh dan tidak bahagia.